Dewan Rakyat rakam takziah mangsa korban banjir

Dewan Rakyat rakam takziah mangsa korban banjir

Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul menggesa semua pihak yang mempunyai kedudukan turun segera membantu mangsa banjir.

Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul menzahirkan kesedihan susulan bencana banjir sehingga membawa kepada kehilangan nyawa tiga beradik perempuan di Tumpat, semalam. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Dewan Rakyat hari ini merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terlibat dalam bencana banjir khususnya yang melanda Pantai Timur.

Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul turut menzahirkan kesedihan dengan bencana yang telah meragut nyawa itu dengan kes terbaharu membabitkan tiga beradik perempuan di Tumpat, semalam.

“Sebelum kita mulakan urusan, saya ucapkan takziah kepada mangsa banjir yang melanda di Pantai Timur… saya difahamkan ada yang terkorban dan banjir makin melanda dengan ganasnya.

“Jadi, kita mendoakan agar keadaan ini akan reda dan saya minta semua yang mempunyai kedudukan untuk membantu,” katanya di Dewan Rakyat.

Semalam, tiga beradik dipercayai terkena renjatan elektrik di luar rumah jiran mereka yang dilanda banjir di Kampung Bendang Surau dekat Morak, Tumpat.

Kesemua mangsa berusia di antara 20 hingga 33 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian itu, kira-kira 11.45 pagi.

Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Kamal (PN-Machang) meminta Speaker mempertimbangkan permohonan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) untuk membahaskan usul tergempar mengenai banjir di Pantai Timur.

“Semalam, Muar ada usulkan usul tergempar mengenai urusan ini dan mohon pertimbangan Yang Dipertua untuk membahaskan tindakan kerajaan dalam menangani krisis banjir yang semakin mengganas,” katanya.

Johari kemudian memaklumkan perkara itu akan diberitahu kemudian.

Semalam, Syed Saddiq memaklumkan beliau telah mengemukakan usul itu kepada Speaker Dewan Rakyat agar langkah mitigasi banjir dapat dibincangkan segera bagi membendung risiko dan impak banjir, khususnya di negeri Pantai Timur.

Jumlah mangsa banjir di seluruh negara setakat ini merekodkan 56,159 mangsa banjir, dengan Kelantan dan Terengganu terus mencatatkan peningkatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.