Denda RM800 miliki porno kanak-kanak? Kerajaan didesak kenakan hukuman lebih berat

Denda RM800 miliki porno kanak-kanak? Kerajaan didesak kenakan hukuman lebih berat

Sesuatu yang amat mengecewakan dan mendukacitakan apabila majistret membiarkan pelakunya terlepas dengan denda minimum, kata seorang pensyarah kriminologi.

Seorang peniaga berusia 39 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret baru-baru ini atas tuduhan memiliki bahan pornografi kanak-kanak.
PETALING JAYA:
Kerajaan digesa memperkenalkan hukuman yang lebih berat untuk kesalahan pemilikan pornografi kanak-kanak.

Pensyarah kriminologi P Sundramoorthy daripada USM berkata, hukuman Mahkamah Majistret Klang terhadap seorang peniaga kerana memiliki pornografi kanak-kanak tidak sesuai dengan sifat jenayah itu.

Peniaga berusia 39 tahun itu mengaku bersalah terhadap tuduhan mengikut Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, kes tersebut disiasat mengikut Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

“Sesuatu yang amat mengecewakan dan mendukacitakan apabila majistret membiarkan pelakunya terlepas dengan denda minimum walaupun undang-undang membenarkan sehingga tiga tahun penjara,” kata Sundramoorthy.

Tambahnya, keputusan mahkamah itu membebaskan pelaku dengan denda bukan sahaja menjadi suatu ketidakadilan kepada mangsa, tetapi juga ancaman kepada masyarakat.

Sundramoorthy juga berkata, penting untuk memastikan pesalah seksual berada bawah pengawasan polis yang ketat kerana negara kekurangan sumber untuk memulihkan penjenayah biasa.

“Kesedaran dan pendidikan jangka panjang diharapkan dapat menghalang pedofil tetapi apabila mereka ditangkap, kita tidak boleh melepaskan mereka,” katanya.

Aktivis hak kanak-kanak James Nayagam berkata, undang-undang lapuk dan ketiadaan komitmen dalam menangani pornografi kanak-kanak di negara menyebabkan pesalah seksual mengulangi kesalahan mereka.

“Sesiapa sahaja boleh didakwa tetapi sabitan dan pencegahan ialah perkara yang perlu kita fokuskan. Kita mesti melihat kes semasa, mengenal pasti kelemahan kemudian menggubal undang-undang baharu,” katanya.

“Saya harap penggubal undang-undang dan kerajaan akan melihat perkara ini dan mengukuhkan undang-undang untuk melindungi kanak-kanak.”

Sementara itu, Naib Presiden NGO PS The Children Ezreen Rahman mempersoalkan tertuduh didakwa mengikut Kanun Keseksaan dan bukannya Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.

Seksyen 8 akta itu memperuntukkan hukuman mandatori penjara sehingga 15 tahun serta sebat kerana memiliki, mengumpul dan mencari bahan pornografi kanak-kanak.

“Perlembagaan Persekutuan telah menjelaskan apabila meluluskan akta itu, ia memberi kuasa kepada peguam negara untuk mendakwa mengikut budi bicaranya,” kata Ezreen.

“Menjadi tanggungjawab pendakwa raya untuk menjawab persoalan mengapa? Tetapi desakan kami hanya sia-sia.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.