Bomba jumpa selimut, alat perkhemahan di lokasi tanah runtuh

Bomba jumpa selimut, alat perkhemahan di lokasi tanah runtuh

Polis berkata, anggaran mangsa belum ditemui ketika ini kekal sembilan orang berdasarkan maklumat pengusaha tapak perkhemahan.

Cuaca baik sejak semalam membantu operasi mencari dan menyelamat hari ini, selain tiada pergerakan tanah dilaporkan di kawasan pencarian.
BATANG KALI:
Anggota penyelamat menemui selimut, tong dan peralatan perkhemahan di sektor C (Riverside) dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya di sini yang memasuki hari kelima hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Wan Md Razali Wan Md Ismail berkata, selain sektor C, pihaknya mengulangi pencarian di sektor A (Hill View) dan B (Farm View) bagi mengesan mangsa.

“Walaupun semua sektor, iaitu sektor A, B dan C telah digali dan diperiksa, kami tetap akan meneruskan operasi SAR, termasuk mengulangi pencarian di kawasan sama sehingga kami berpuas hati,” katanya dalam sidang media di Pos Kawasan Tempat Kejadian (PKTK) di sini.

Menurutnya, cuaca baik sejak semalam membantu operasi SAR hari ini, selain Jabatan Kerja Raya melaporkan tiada pergerakan tanah di kawasan pencarian berbanding semalam.

Setakat 4 petang tadi, sembilan mangsa masih hilang, manakala 24 terkorban daripada keseluruhan 94 mangsa terlibat dalam kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Suffian Abdullah berkata, anggaran mangsa belum ditemui ketika ini kekal sembilan orang berdasarkan maklumat pengusaha tapak perkhemahan.

“Semakan teliti akan terus dibuat untuk mengesahkan bilangan mangsa masih hilang, bagaimanapun ketika ini anggaran yang dipegang pihak berkuasa kekal sembilan orang.”

Setakat ini, katanya, dua laporan orang hilang diterima polis melibatkan mangsa belum ditemui dalam tragedi awal pagi Jumaat lalu.

Dalam kejadian sekitar 2.42 pagi Jumaat, runtuhan tanah sepanjang hampir 300m dan setinggi 70m menimpa tapak perkhemahan yang terletak di Jalan Genting-Batang Kali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.