‘Bajet mini’ RM107.7 bilion lulus

‘Bajet mini’ RM107.7 bilion lulus

Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang juga menteri kewangan berkata, beliau akan membentangkan semula Bajet 2023 pada Februari depan.

Bajet mini itu dibentangkan untuk bacaan kedua hari ini oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang juga menteri kewangan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan bajet operasi sementara bernilai RM107.7 bilion.

Bajet mini dibentangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang juga menteri kewangan, itu diluluskan melalui undian suara selepas bacaan kedua dan ketiga.

Ketika membentangkan Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 dan usul anggaran perbelanjaan pembangunan sementara 2023, Anwar berkata, tanpa kelulusan bajet sementara itu, kerajaan tidak dapat berfungsi.

Selain itu, katanya, perkhidmatan asas seperti bekalan ubat di hospital, pemberian makanan di sekolah, bantuan kebajikan serta pelbagai bantuan lain juga tidak dapat disediakan.

Tambahnya, beliau akan membentangkan semula Bajet 2023 pada Februari depan.

“Mengambil kira keterbatasan anggaran perbelanjaan sementara ini yang terhad kepada dasar dan komitmen sedia ada kerajaan bagi enam bulan pertama 2023 terlebih dahulu.

“Apa yang baik akan diteruskan terutamanya inisiatif sedia ada yang memberikan manfaat dan faedah kepada rakyat. Selanjutnya, perbelanjaan lain akan dikaji semula dalam penyediaan pembentangan semula Bajet 2023.

“Sudah tentu kerajaan perpaduan akan membentangkan Belanjawan 2023 yang lebih baik dalam memperjuangkan kesejahteraan rakyat dan memperkukuh prestasi ekonomi,” katanya.

Bajet operasi sementara RM107.7 bilion ini termasuk RM55.9 bilion untuk gaji kakitangan awam dan perbelanjaan operasi lain yang berkaitan.

Beliau mengesahkan bahawa kerajaannya akan meneruskan bantuan awal persekolahan RM150 untuk semua pelajar, tanpa mengira pendapatan ibu bapa, inisiatif yang diperkenalkan oleh pendahulunya Ismail Sabri Yaakob pada Oktober.

Ismail sebelum ini dilaporkan berkata, kira-kira RM825 juta akan diperuntukkan untuk tujuan itu.

Anwar juga berkata, kerajaannya akan meneruskan kenaikan RM100 untuk semua penjawat awam antara Gred 11 hingga Gred 56, yang akan melibatkan RM1.5 bilion.

Bajet mini juga penting untuk membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menangani banjir dan membantu mangsa.

“Kerajaan memberi jaminan akan menyediakan sumber kewangan tambahan sekiranya perlu bagi memastikan kelancaran pengurusan banjir,” kata Anwar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.