3 pekerja Indonesia maut dipercayai hidu gas ammonia

3 pekerja Indonesia maut dipercayai hidu gas ammonia

Semalam tiga pekerja kontrak pemasangan kabel komunikasi maut susulan lemas dalam lubang pembetung kabel bawah tanah di Cyberjaya.

Tiga warga Indonesia meninggal dunia dalam lubang pembetung kabel bawah tanah di Taman Sains Selangor 2, Cyberjaya. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Gas beracun ammonia dipercayai menjadi punca tiga pekerja pemasangan kabel telekomunikasi yang maut dalam lubang pembetung kabel bawah tanah di Taman Sains Selangor 2, Cyberjaya, semalam.

Ketua Polis Sepang, Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata seorang lagi pekerja di lokasi itu yang juga pengadu dalam kes berkenaan, memberitahu dia bersama tiga mangsa warga Indonesia itu mula bertugas pada 9 pagi.

“Kira-kira 3 petang, empat pekerja terbabit mencari lubang pembetung kabel telekomunikasi yang tertimbus. Apabila jumpa lubang itu dan membukanya, pengadu mengarahkan tiga mangsa supaya tidak ambil apa-apa tindakan dan dia ke lori untuk mengambil barang.

“Selepas itu, pengadu mendakwa mendengar jeritan salah seorang mangsa bernama Adnani, menyatakan rakan bernama Febri dan Jufri terperangkap dalam lubang berkenaan.

“Pengadu turut menghalang Adnani daripada turun ke dalam lubang pembetung berkenaan, namun mangsa tetap berkeras untuk menyelamatkan kedua-dua rakannya dan kemudian turut terperangkap dalam lubang itu,” katanya menurut Berita Harian.

Wan Kamarul berkata, pengadu cuba menyelamatkan tiga mangsa menggunakan tali, namun tidak berdaya kerana turut terhidu gas lalu menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan.

Berdasarkan maklumat pada pasport ketiga-tiga mangsa, beliau berkata, masing-masing dikenal pasti dengan nama Adnani, Febri Putra Arsandi dan Jufri, semua berusia antara 30 hingga 42 tahun.

Semalam, Bernama melaporkan Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis berkata tiga pekerja kontrak pemasangan kabel sebuah syarikat komunikasi itu pengsan dalam lubang pembetung dengan kedalaman 5m, sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.