
Seramai 148 Ahli Parlimen berada di blok kerajaan di Dewan Rakyat manakala pembangkang pula mempunyai 74 Ahli Parlimen.
Selepas dilantik sebagai perdana menteri, Anwar berjanji untuk membuat usul percaya di Dewan Rakyat bagi membuktikan sokongannya di Parlimen.
Anwar berkata, undi percaya membolehkan beliau mentadbir negara dengan mandat jelas, walaupun undi seperti itu tidak diperlukan kerana beliau sudah memiliki majoriti jelas di Dewan Rakyat.
Pada Jumaat lalu, lima pemimpin gabungan dan parti dalam kerajaan perpaduan menandatangani surat perjanjian untuk menyokong Anwar.
Ia ditandatangani oleh Anwar sebagai pengerusi Pakatan Harapan, Pengerusi Barisan Nasional, Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi Gabungan Parti Sarawak, Abang Johari Openg; Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah, Hajiji Noor; dan Presiden Warisan, Shafie Apdal.
Perdana menteri berkata, perjanjian itu bagi memastikan kestabilan kerajaan bagi membolehkan ia fokus kepada tadbir urus yang baik dan meningkatkan ekonomi.
Anwar juga yakin kerajaan yang ditubuhkan ini akan kekal hingga tamat penggal iaitu selama lima tahun.