
Kediaman Mohd Ridzwan Ismail, 58, dinaiki air kira-kira 11 malam tadi ketika perlawanan antara negara Amerika Selatan itu melawan Perancis, baru bermula.
Dia sempat menonton aksi kedua-dua pasukan sehingga separuh masa pertama tamat.
“Isteri saya, Wan Nor Azian Wan Ibrahim, 61, sejak awal-awal lagi sudah berpindah ke PPS dan saya tinggal bersendirian di rumah ketika itu semata-mata mahu menonton Piala Dunia.
“Namun, apabila air semakin tinggi, saya berpindah ke rumah anak saudara yang terletak tidak jauh dari rumah untuk menonton perlawanan bola sepak itu sehingga habis, termasuk acara penyampaian hadiah.
“Saya berpuas hati apabila pasukan pilihan saya berjaya merangkul juara Piala Dunia dan pemain kegemaran, (Lionel) Messi dapat menjaringkan dua gol dalam perlawanan terbabit,” lapor Berita Harian.
Ridzwan kemudian berpindah ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Beserah, pada 2 pagi tadi.
Pada perlawanan final Piala Dunia itu, Argentina membawa pulang Piala Dunia dalam penentuan sepakan penalti, 4-2, selepas terikat 3-3 dengan Perancis sehingga masuk masa tambahan.
Menceritakan kejadian banjir itu, Ridzwan berkata, air mula memasuki rumahnya kira-kira 9 malam melalui pintu dapur dan sehingga 2 pagi tadi, air sudah mencecah paras dada.
“Arus air naik tidak terlalu laju sebab itu saya tidak begitu runsing menonton bola dalam banjir. Malah, saya sudah biasa dengan banjir, tiap tahun rumah ditenggelami air. Cuma banjir tahun ini saya rasa paling teruk sejak 22 tahun tinggal di sini,” katanya.
Beliau turut mencadangkan kepada pihak terbabit supaya membesarkan pembetung atau membina jambatan bagi melancarkan laluan air bagi menangani masalah banjir di kawasan itu.