
Kelonggaran kod etika pakaian itu diumumkan susulan permintaan daripada Ahli Parlimen.
“Ada cadangan untuk esok, mereka yang nak pakai sut saya kecualikan daripada memakai tali leher. Jadi boleh datang dengan baju Melayu ataupun dengan sut tetapi tanpa tali leher, ia adalah pilihan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan dengan lebih lanjut sama ada perkara itu dibolehkan sepanjang persidangan Dewan Rakyat atau hanya dibolehkan untuk esok sahaja.
Kelonggaran dalam kod etika pakaian itu dilihat mengikut gaya santai Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang memakai sut formal ketika majlis kerajaan tetapi tanpa tali leher.
Gaya itu kemudiannya diikuti Jemaah Menteri dan pengarah penjawat awam lain ketika bertemu Anwar. Pada Jumaat lalu, Anwar menghandiri beberapa mesyuarat dengan mengenakan baju Melayu dan memakai capal sekali gus mendapat reaksi pengguna media sosial.
Mengikut Panduan Pakaian Di Dalam Dewan Persidangan dalam portal Parlimen.gov.my, individu lelaki yang memasuki Parlimen perlu mengenakan kot, kemeja lengan panjang, bertali leher dengan digalakkan berwarna gelap.
Mereka juga boleh memakai pakaian kebangsaan atau tradisional yang lengkap dengan kasut kulit bertutup atau lain-lain kasut yang sejenis dengannya dan berwarna gelap serta berstokin.