
Gopal Sri Ram berkata, suruhanjaya seumpama itu boleh mencadangkan pindaan dibuat dalam Perlembagaan Persekutuan, mengubah undang-undang sedia ada dan memperkenalkan peruntukan baharu sejajar perubahan masa.
“Undang-undang jenayah dan sivil memerlukan rombakan penuh dan suruhanjaya yang dinamik diperlukan bagi melaksanakan tugasan berat itu,” katanya kepada FMT.
Sri Ram berkata demikian sebagai maklum balas terhadap kenyataan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said, yang menyatakan akan mencadangkan kepada Jemaah Menteri mengenai penubuhan suruhanjaya undang-undang bebas daripada Jabatan Peguam Negara.
Hakim Mahkamah Persekutuan yang bersara itu, berkata suruhanjaya boleh mencadangkan undang-undang kepada bahagian penggubalan Jabatan Peguam Negara.
“Ia akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat untuk kelulusan,” katanya.
Ketika ini, kementerian yang terbabit dan Jabatan Peguam Negara bertanggungjawab mendapatkan maklum balas daripada pemegang taruh dan melaksanakan kajian sebelum undang-undang digubal.
United Kingdom, Australia, New Zealand, India, Afrika Selatan dan Kenya merupakan negara Komanwel yang mempunyai suruhanjaya undang-undang yang aktif mencadangkan reformasi dalam undang-undang mereka.
Pada Jun, Azalina berkata, ada keperluan untuk melakukan semakan dan kajian membabitkan 147 undang-undang yang disifatkan sebagai lapok.
Dalam pada itu, peguam kanan, Bastian Pius Vendargon, berkata beberapa infrastruktur asas seperti meluluskan Akta Parlimen untuk penubuhan suruhanjaya itu perlu diusulkan secepat mungkin.
“Secara idealnya, ia sepatutnya dipengerusikan hakim bersara dan mempunyai sekretariat sepenuh masa bagi membantu pihak suruhanjaya,” katanya.
Vendargon berkata, pakar dalam pelbagai bidang undang-undang seperti sosiologi, perubatan dan ekonomi perlu berada dalam suruhanjaya itu.
Katanya, ketika ini, undang-undang negara tidak dikemaskini sebaiknya selaras perkembangan sosio-ekonomi, kewangan serta kesihatan dan perubatan.
Vendargon berkata, suruhanjaya yang proaktif juga mampu mengemas kini undang-undang apabila Mahkamah Persekutuan membuat pengisytiharaan kehakiman dalam kes melibatkan kepentingan awam.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan mesti menjamin suruhanjaya terbabit benar-benar bebas untuk melaksanakan fungsinya.
“Jika tidak, ia hanya membazir masa dan wang,” katanya sambil menambah seandainya ada kemahuan politik, suruhanjaya itu boleh memulakan tugasnya dalam tempoh setahun.