Saliran air lemah di lereng bukit mungkin punca tanah runtuh, kata pakar

Saliran air lemah di lereng bukit mungkin punca tanah runtuh, kata pakar

Pakar dari USM menggesa semakan dibuat berhubung kapasiti sistem saliran dan penyelenggaraan di semua laluan lereng bukit.

Lebihan air yang mengalir melalui tanah di seberang jalan di bahagian cerun mungkin menyumbang kejadian tanah runtuh di tapak khemah, kata pensyarah kejuruteraan geoteknikal USM, Mastura Azmi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sistem saliran yang tidak diselenggara dengan baik di sepanjang jalan negeri berkemungkinan menyumbang kepada tragedi tanah runtuh di Batang Kali, baru-baru ini, kata pakar, berdasarkan pemerhatian awalnya.

Mastura Azmi dari Universiti Sains Malaysia (USM), berkata berdasarkan foto dan video mengenai kejadian itu, ada tanda jelas gelongsoran tanah berlaku tepat di cerun, di Jalan Batang Kali-Genting Highlands atau laluan B66.

“Tanda pertama jelas ada rekahan di permukaan jalan. Ini menunjukkan air sudah menyerap masuk dari permukaan. Ia berlaku kerana saliran tidak baik.

“Apabila terjadi rekahan atau celahan dalam saliran, air menyerap masuk menerusi turapan.

“Dalam kes ini, lebihan air mengalir melalui tanah di seberang jalan, iaitu menuju ke cerun di mana lokasi perkhemahan ditempatkan,” kata pensyarah kejuruteraan geoteknikal itu kepada FMT.

Mastura yang pakar dalam kejuruteraan cerun dan kajian tanah runtuh, berkata lazimnya, laluan lereng bukit seperti di Batang Kali cenderung mengalami pengurangan kestabilan kesan daripada tekanan rekahan dan menjadi lebih buruk dengan permukaan terhakis dan pengaliran air. Ia seterusnya menjurus kepada pergerakan tanah.

“Aliran air mungkin datang daripada cerun di bahagian paling atas di jalan atau air mengalir di bawah saliran kesan daripada penyelenggaraan tidak baik atau tidak mampu menampung aliran air yang banyak,” katanya.

Mastura turut menekankan penyelenggaraan saliran, terutama di laluan lereng bukit yang disifatkannya sangat penting. Beliau menggesa semakan membabitkan kapasiti sistem saliran dan penyelenggaraan di semua laluan lereng bukit dilakukan segera demi mengelak tragedi tanah runtuh kembali berulang.

Tragedi tanah runtuh berkenaan meliputi dimensi runtuhan kira-kira 500m, selebar 200m pada kedalaman 8m, dengan isi padu runtuhan 450,000 meter padu di tapak perkhemahan itu.

Setakat ini, 24 disahkan maut dengan sembilan lagi masih hilang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.