15 korban tanah runtuh dikenal pasti

15 korban tanah runtuh dikenal pasti

Setakat ini 21 daripada 24 mangsa terkorban sudah dikenal pasti.

Sejumlah 15 lagi mangsa korban tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Gohtong Jaya, dikenal pasti setakat 1 tengah hari tadi. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Sejumlah 15 lagi mangsa yang ditemukan meninggal dunia dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Gohtong Jaya, dikenal pasti setakat 1 tengah hari tadi.

Jumlah itu menjadikan 21 daripada 24 mangsa yang ditemukan meninggal dunia, sudah dikenal pasti.

Kenyataan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memaklumkan identiti mangsa dikenal pasti menerusi tiga kombinasi kaedah, iaitu pengecaman asid deoksiribonukleik (DNA), cap jari dan pengecaman pihak waris pada wajah atau pun barangan peribadi serta tanda unik pada badan mangsa.

“Proses bedah siasat untuk semua 24 mayat telah selesai dijalankan…tiga daripada 24 mangsa yang meninggal dunia sedang dikenal pasti melalui kaedah-kaedah ini,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, dua orang masih menerima rawatan di Hospital Selayang dan seorang di Hospital Kuala Lumpur, manakala dua yang menerima rawatan di Hospital Selayang sebelum ini, telah dibenarkan pulang semalam.

“Sebarang maklumat terkini mengenai perkembangan mangsa-mangsa bencana akan dimaklumkan dari masa ke masa, setelah mendapat pengesahan rasmi daripada agensi yang bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu.

Pada 2.42 pagi Jumaat, berlaku runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter di tapak perkhemahan tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.