
Enam mangsa itu membabitkan lima perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun.
Identiti mereka dikenal pasti melalui proses pengecaman oleh waris atau ujian cap jari, kata Agensi Pengurusan Bencana Negara dalam kenyataan.
“Proses bedah siasat dan pengecaman mayat yang lain masih dijalankan,” katanya.
Sementara itu, dua perempuan dewasa dan dua lelaki dewasa masih menerima rawatan di Hospital Selayang dan seorang perempuan dewasa di Hospital Kuala Lumpur, manakala tiga yang menerima rawatan di Hospital Kuala Kubu Bharu dibenarkan pulang semalam.
“Sebarang maklumat terkini mengenai perkembangan mangsa bencana akan dimaklumkan dari semasa ke semasa setelah mendapat pengesahan rasmi daripada agensi yang bertanggungjawab,” katanya.
Tanah runtuh berlaku pada awal pagi semalam di tiga tapak perkhemahan berhampiran jalan Batang Kali-Genting Highlands.
Berdasarkan rekod pendaftaran pelawat oleh pengendali tapak khemah, 94 orang didaftar bermalam di situ semasa tanah runtuh di mana 61 orang telah diselamatkan.