Tempat perkelahan, perkhemahan di Selangor tutup 7 hari

Tempat perkelahan, perkhemahan di Selangor tutup 7 hari

Arahan penutupan itu dibuat kerajaan Selangor susulan kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan di Batang Kali hari ini.

Jabatan Perhutanan Negeri Selangor turut mengeluarkan notis penutupan operasi semua kawasan rekreasi diuruskan jabatan itu sejak Oktober lalu.
PETALING JAYA:
Kerajaan Selangor mengarahkan semua tempat perkelahan dan perkhemahan di negeri itu ditutup selama tujuh hari mulai esok.

Setiausaha Kerajaan Selangor Haris Kasim yang juga pengerusi jawatankuasa pengurusan bencana negeri mengumumkan perkara itu menerusi satu notis pemakluman dikeluarkan hari ini.

Arahan penutupan itu dibuat dipercayai susulan kejadian tanah runtuh di sebuah tapak perkhemahan di Batang Kali, Hulu Selangor hari ini.

Berdasarkan rekod pendaftaran pengusaha, 94 orang berada di lokasi kejadian antaranya sekumpulan guru dan pelajar dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong.

Setakat jam 8 malam tadi, seramai 21 orang terkorban manakala 12 masih hilang dan 61 lagi berjaya diselamatkan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata pihaknya telah mengeluarkan notis penutupan operasi semua kawasan rekreasi diuruskan jabatan itu sejak Oktober lalu.

“Notis dikeluarkan sebagai langkah kawalan dan mencegah sebarang risiko kemalangan serta kejadian tidak diingini berlaku pada musim tengkujuh sehingga awal tahun depan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan kejadian di Batang Kali itu berlaku di tanah persendirian untuk menjalankan aktiviti pertanian, bukan di kawasan hutan simpan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.