92 mangsa tanah runtuh ditemui, 8 maut

92 mangsa tanah runtuh ditemui, 8 maut

Agensi Pengurusan Bencana Negara memaklumkan seramai 92 mangsa berjaya ditemui setakat 9.15 pagi tadi dan operasi mencari masih diteruskan.

Pasukan penyelamat membantu mencari mangsa selepas tanah runtuh di tapak perkhemahan sebuah ladang organik di Genting Highlands, awal pagi ini. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Lapan mangsa termasuk kanak-kanak disahkan meninggal dunia manakala tujuh cedera dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan di Batang Kali, setakat 9.15 pagi tadi.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memaklumkan di Twitter, seramai 92 mangsa berjaya ditemui dalam operasi mencari menyelamat selepas kejadian awal pagi tadi.

Operasi itu masih lagi diteruskan untuk mengeluarkan semua mangsa.

Usaha itu turut dibantu pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu, Rawang, Genting Highlands, Sentosa, Ampang, Pandan, Kota Anggerik, Kajang dan Andalas.

Anggota Pasukan Khas Taktikal, Operasi dan Penyelamat (STORM) dan Unit K9 juga berada di lokasi.

Dalam kejadian awal pagi tadi, dilaporkan berpuluh orang dikhuatiri terperangkap dalam tanah runtuh berhampiran sebuah ladang, Father’s Organic Farm, Jalan Genting-Batang Kali.

Bomba Selangor memaklumkan ketinggian runtuhan dianggarkan 30m dengan anggaran keluasan runtuhan tiga ekar.

Terdahulu, dalam kenyataan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.24 pagi dan tiba di lokasi setengah jam kemudian.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Ahmad turut ke lokasi.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.