Audit GLC, buang jika tak perlu, kata badan pemikir

Audit GLC, buang jika tak perlu, kata badan pemikir

CEO IDEAS Tricia Yeoh berkata, ketua badan berkenaan perlu dinilai untuk melihat sama ada mereka mencapai petunjuk prestasi utama ditetapkan.

Tricia Yeoh berkata, dalam mengisi kekosongan jawatan, kerajaan perlu melihat langkah-langkah dinyatakan dalam Buku Hijau 2006 yang diterbitkan.
PETALING JAYA:
“Semakan besar-besaran” terhadap semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) wajar dilakukan untuk menganggarkan impak mereka terhadap masyarakat dan ekonomi, kata badan pemikir.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Tricia Yeoh berkata, walaupun menyingkirkan pelantikan politik adalah tindakan baik, GLC yang tidak memenuhi peranan mereka juga wajar dihapuskan, khususnya jika tidak dikendalikan dengan baik.

Katanya, organisasi berkenaan perlu dinilai untuk melihat sama ada telah berjaya mencapai petunjuk prestasi utama dan memenuhi mandat ditetapkan.

“Jika kewujudannya sekadar untuk tujuan politik, dan tidak memenuhi fungsi ekonomi atau sosial, maka wujud alasan kukuh bagi mempertimbangkan untuk memansuhkannya,” katanya kepada FMT.

Yeoh berkata, dalam mengisi jawatan kosong ditinggalkan pelantikan politik, kerajaan wajar bergantung kepada langkah-langkah dinyatakan dalam Buku Hijau 2006 diterbitkan Jawatankuasa Putrajaya bagi Prestasi Tinggi.

Katanya, tujuan utama buku itu adalah untuk meningkatkan keberkesanan lembaga, termasuk meletakkan individu yang efektif dan bereputasi tinggi dalam bidang masing-masing.

“Mereka yang menggantikan lantikan politik, khususnya dalam badan seperti ini, mesti mampu bertindak secara profesional. Mereka juga mestilah orang yang mempunyai kemahiran, pengetahuan dan set minda yang betul,” katanya.

Menurut pekeliling yang bocor pada Khamis menyatakan Jemaah Menteri telah bersetuju menamatkan serta-merta kontrak lantikan politik sebagai pengerusi atau ahli lembaga badan berkanun persekutuan, syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc), GLC dan GLIC.

Pekeliling disiarkan di media sosial itu konon ditandatangani Ketua Setiausaha Negara Zuki Ali, yang ditujukan kepada ketua setiausaha setiap kementerian.

Muhyiddin Yassin dan penggantinya Ismail Sabri Yaakob telah membuat banyak lantikan politik selepas mereka dilantik ke jawatan itu.

IDEAS menegaskan Ismail membuat 234 lantikan politik dari Ogos 2021 hingga September tahun ini. Daripada jumlah itu, 119 adalah lantikan baharu, manakala 115 lagi dikekalkan daripada pentadbiran terdahulu yang diketuai oleh Muhyiddin, kata badan pemikir itu pada Oktober.

Umno mendominasi bilangan ahli politik yang dikekalkan dalam badan berkanun persekutuan dengan 52 lantikan, manakala Bersatu mempunyai 28 lantikan dan PAS 11. Lebih separuh daripada pelantikan baharu adalah daripada Umno (61), diikuti Bersatu (19), Parti Bangsa Malaysia (15), PAS (tujuh) dan MCA (lima).

Sementara itu, Transparency International Malaysia berkata peluang perlu diberi kepada golongan profesional dan teknokrat untuk memimpin badan-badan ini.

“Di Malaysia kita ada ramai yang berkelayakan tetapi tidak diberi peluang. Ini juga boleh mengurangkan rasuah politik dan penyalahgunaan kuasa untuk kepentingan politik terutama dalam kalangan syarikat GLIC dan GLC,” katanya dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.