Aktiviti perkhemahan bertukar tragedi untuk keluarga mangsa

Aktiviti perkhemahan bertukar tragedi untuk keluarga mangsa

Satu pasangan yang menyukai alam sekitar kehilangan satu-satunya anak mereka, manakala satu keluarga dari Singapura terselamat.

Kapsyen Main Pic: Anggota penyelamat di lokasi tanah runtuh di Batang Kali, berhampiran Genting Highlands. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Aktiviti perkhemahan menjadi mimpi ngeri untuk satu pasangan suami isteri apabila kehilangan satu-satunya anak mereka yang berusia lapan tahun dalam kejadian tanah runtuh di Batang Kali pada awal pagi tadi.

Ahli keluarga mangsa berkata, pasangan itu dan anak lelaki mereka sangat menyukai alam semula jadi dan sering berkunjung ke Father’s Organic Farm untuk berkhemah ketika cuti sekolah.

Bagaimanapun, percutian kali ini bertukar tragedi apabila tanah runtuh melanda tapak perkhemahan berkenaan.

Si bapa dipercayai sudah dibenarkan keluar dari hospital manakala isterinya masih ditahan untuk rawatan lanjut.

Setakat ini, 21 mangsa termasuk kanak-kanak disahkan maut manakala 12 lagi masih hilang dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku kira-kira jam 2 pagi tadi dan menyebabkan 94 lagi terperangkap di tiga tapak perkhemahan.

Lelaki yang dikenali sebagai Lou ditenangkan keluarga di Hospital Selayang selepas anak saudaranya yang berusia lapan tahun terbunuh dalam tragedi tanah runtuh itu. (Gambar China Press)

Keluarga dari Singapura selamat

Satu keluarga dari Singapura antara mangsa yang terselamat.

Penduduk tetap Singapura, Tee Yeow King berkata, beliau menggunakan badannya untuk melindungi isteri dan dua anaknya apabila mendengar bunyi kuat ketika dia mahu tidur.

“Bunyi itu semakin lama semakin kuat. Saya tidak pernah mendengar bunyi seperti itu. Ia seperti bunyi pokok dicabut dan batu berlanggar. Bunyi itu kedengaran menghala ke arah kami tetapi sudah terlewat untuk berlari keluar dari khemah kerana keadaan yang gelap.

“Ia berlaku dengan sangat pantas. Kami sangat bernasib baik,” katanya kepada akhbar Singapura Straits Times.

Tee bersama isteri, anak lelakinya berusia tujuh tahun dan anak perempuan berumur tiga tahun, tidak cedera dan mereka juga berjaya membantu satu keluarga di mana anak mereka hampir ditimbus lumpur.

“Kami kembali takut apabila mendengar bunyi kuat itu untuk kali kedua,” katanya.

Khemah mereka di Father’s Organic Farm antara dua khemah yang tidak terjejas dengan tanah runtuh itu. Tiga lagi khemah di kawasan lebih tinggi musnah ditimbus tanah.

Beberapa mangsa yang selamat termasuk keluarga Tee, dibawa keluar dari kawasan itu kira-kira sejam kemudian sebelum menjalani pemeriksaan kesihatan dan dibawa ke balai polis Ulu Yam Bharu pada waktu subuh.

Tee juga mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa dan anggota keselamatan.

“Tindak balas mereka sangat pantas dan mereka cuba yang terbaik untuk membantu serta menenangkan kami,” katanya menurut Straits Times.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.