Segera tubuh jawatankuasa kaji beban guru, gesa NUTP

Segera tubuh jawatankuasa kaji beban guru, gesa NUTP

Presidennya, Aminuddin Awang berkata, cadangan itu dikemukakan kepada beberapa menteri pendidikan sebelum ini, namun tiada tindakan diambil.

Presiden NUTP, Aminuddin Awang berkata, jawatankuasa khas itu penting dalam usaha mencari penyelesaian terhadap beban tugas guru yang bagai tiada kesudahan.
PETALING JAYA:
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menggesa kerajaan segera menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji beban tugas guru.

Presidennya, Aminuddin Awang berkata, jawatankuasa itu penting dalam usaha mencari penyelesaian terhadap beban tugas guru yang bagai tiada kesudahan supaya sesi pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan lancar dan sempurna.

Beliau berkata, cadangan itu dikemukakan kepada beberapa menteri pendidikan sebelum ini, namun tiada tindakan diambil.

“Cadangan mewujudkan jawatankuasa khas mengkaji beban tugas guru ini akan kita bawa kepada Menteri Pendidikan baharu, Fadhlina Sidek dalam perjumpaan yang akan NUTP adakan bersama beliau dalam masa terdekat.

“Sekarang ini guru banyak dibebani tugasan tidak relevan seperti kerja perkeranian, sekali gus menyebabkan masa guru antara murid kurang,” katanya menurut laporan Bernama.

Aminuddin berkata, isu lain akan dikemukakan dalam perjumpaan itu termasuk pelaksanaan ujian akhir sesi akademik (UASA) tahun depan yang dilihat menambah beban guru, antaranya pemeriksaan kertas ujian, cetakan soalan dan kemasukan markah dalam talian.

Beliau berkata, beban kerja itu jika tidak ditangani secara berhati-hati dibimbangi akan membangkitkan gelombang kemarahan golongan berkenaan terhadap Kementerian Pendidikan, seterusnya menjadi punca ramai guru bersara awal.

Selain itu, katanya, NUTP berharap Fadhlina dapat meneruskan dasar atau inisiatif baik kerajaan sebelum ini agar guru dan murid tidak terbeban dengan perubahan dasar setiap kali berlaku pertukaran kerajaan atau menteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.