
“Perkara ini termasuklah memikirkan kesinambungan kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang akan berakhir pada 2025,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pendidikan.
Hadir sama timbalannya Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Yusran Shah Mohd Yusof.
Fadhlina berkata, MPPK termaktub bawah Akta Pendidikan 1996 dan pengaktifan semula itu sebahagian daripada hala tuju kementeriannya bagi memastikan pendekatan holistik diambil, membabitkan konsultasi dengan rakan strategik dan pihak berkepentingan.
Pada 2018, Menteri Pendidikan ketika itu, Maszlee Malik melantik 11 anggota bagi sesi 2018-2020 MPPK, yang diketuai bekas ketua pengarah pendidikan Wan Zahid Noordin dan Yong Poh Kon sebagai timbalannya.
Anggota lain termasuk Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Untuk Pendidikan (PAGE), Noor Azimah Rahim, pakar pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), Boonler Somchit serta penasihat pendidikan Khazanah Nasional Berhad, Satinah Syed Saleh.
Sementara itu, Yusran berkata langkah kerajaan terdahulu menaikkan kadar Rancangan Makanan Tambahan (RMT) sebanyak RM1 diteruskan.
Pada 7 Okt lalu, Menteri Pendidikan ketika itu, Radzi Jidin mendedahkan kadar RMT dinaikkan daripada RM2.50 kepada RM3.50 untuk Semenanjung dan RM3 kepada RM4 bagi Sabah, Sarawak serta Labuan.
Katanya, kerajaan menerusi Bajet 2023 memperuntukkan RM777 juta untuk tujuan itu yang akan berkuat kuasa 6 Nov lalu dan memanfaatkan 791,477 murid di seluruh negara.
Bagi sarapan percuma untuk semua murid yang diperkenalkan pada 2020 pula, Yusran berkata, kerajaan akan memperhalusi perkara itu dan memastikan peruntukan mencukupi untuk melaksanakannya.