Lagi lawatan mengejut, Loke akan jumpa pengurusan KTMB

Lagi lawatan mengejut, Loke akan jumpa pengurusan KTMB

Menteri pengangkutan juga akan menemui pengurusan Terminal Bersepadu Selatan bagi memastikan ia boleh menangani jumlah penumpang ramai pada hujung minggu dan musim perayaan.

Loke Siew Fook yang bertopi hitam dan memakai pelitup muka, mengadakan lawatan mengejut untuk memantau perkhidmatan KTM Komuter hari ini.
PETALING JAYA:
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook akan menemui pengurusan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dalam masa terdekat bagi membincangkan cara menambah baik perkhidmatan dan kekerapan tren.

Ini menyusul lawatan mengejut Loke dengan dua pembantunya ke laluan KTM Komuter petang tadi.

Menerusi catatan Facebook, katanya, beliau menaiki tren dari KL Sentral ke stesen Bandar Tasik Selatan dan turut meninjau situasi di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur.

“Saya menerima banyak maklum balas dari media sosial berkenaan perkhidmatan Komuter dan masalah mencetak pas masuk bas di TBS.

“Saya faham KTMB menghadapi pelbagai kekangan operasi disebabkan projek menaik taraf landasan KVDT1 yang belum siap dan KVDT2 yang tergendala.”

Loke berkata, beliau akan menemui pengurusan TBS bagi memastikan ia bersiap sedia mengendalikan jumlah penumpang ramai pada hujung minggu dan musim perayaan.

Dua hari selepas mengangkat sumpah sebagai menteri pengangkutan, Loke mengadakan lawatan mengejut untuk memantau perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya dari 5 petang hingga 7 malam 5 Dis lalu.

Menyifatkan “keadaan cukup sesak dalam tren dan tidak selesa buat penumpang”, katanya, beliau akan menemui pengurusan tertinggi pengendali tren Prasarana itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.