Anwar paling sesuai ambil alih Mitra, kata Waytha

Anwar paling sesuai ambil alih Mitra, kata Waytha

Ini kerana, kata bekas menteri perpaduan negara itu, perdana menteri mengetuai PKR dengan kira-kira 40% ahlinya ialah kaum India.

P Waytha Moorthy berharap Anwar Ibrahim akan mempertimbangkan komitmennya kepada masyarakat India dalam manifesto Pakatan Harapan pada PRU14. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim paling sesuai mengambil alih Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra), kata seorang bekas menteri.

Bekas menteri perpaduan negara, P Waytha Moorthy, berkata presiden PKR itu mengetuai parti dengan kira-kira 40% ahlinya ialah kaum India.

“Perdana menteri banyak kali memberi komitmen untuk membantu semua kaum dan mengakui secara terbuka kaum India ialah masyarakat paling terpinggir di Malaysia.

“Saya berharap dan meletak kepercayaan kepada perdana menteri untuk memimpin dalam menunjukkan kaum majoriti paling melindungi isu kumpulan minoriti,” kata presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP) itu dalam kenyataan.

Mitra yang berperanan menangani perkembangan sosio-ekonomi masyarakat India di Malaysia, diletakkan bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri pada September atas permintaan MIC. Unit itu bawah bidang kuasa Kementerian Perpaduan Negara sebelum itu.

Tahun lalu, Mitra disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atas dakwaan penyelewengan dana dari 2019 hingga 2021.

Anwar pernah menggesa audit forensik dijalankan ke atas Mitra dan sayap pendidikan MIC, Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) serta syarikat pelaburan parti itu, Maika Holdings.

Beliau mendakwa dana kerajaan untuk masyarakat India diseleweng ketiga-tiga organisasi itu.

Waytha juga berharap Anwar akan mempertimbangkan semua komitmen bagi masyarakat India dalam manifesto Pakatan Harapan untuk PRU14 pada 2018, khasnya peruntukan RM100 juta untuk meningkatkan ekuiti, pendidikan dan prospek pekerjaan kaum India.

“Kaum India kini berharap dan menantikan penyelesaian kekal serta menyeluruh untuk masalah mereka.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.