ADUN gesa PH, PN dibenar sertai mesyuarat jawatankuasa kerajaan Melaka

ADUN gesa PH, PN dibenar sertai mesyuarat jawatankuasa kerajaan Melaka

ADUN Ayer Keroh Kerk Chee Yee turut mencadangkan peruntukan sama rata diberikan kepada semua wakil rakyat termasuk pembangkang.

ADUN Ayer Keroh Kerk Chee Yee mencadangkan sesi khas diwujudkan dalam sidang DUN Melaka bagi membolehkan semua penyokong kerajaan mengetengahkan isu semasa yang penting atau mendesak. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
ADUN Ayer Keroh, Kerk Chee Yee berharap wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) dibenarkan menyertai mesyuarat jawatankuasa kerajaan susulan pembentukan kerajaan perpaduan di negeri itu.

Beliau turut mencadangkan peruntukan sama rata diberikan kepada semua wakil rakyat dan sesi khas diwujudkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan semua penyokong kerajaan mengetengahkan isu semasa yang dianggap penting atau mendesak.

“Reformasi paling awal berlaku pada 2018, di mana peruntukan diberikan kepada ADUN bukan kerajaan di Melaka. Polisi tersebut diteruskan sehingga hari ini.

“Saya berpendapat sekiranya ADUN bukan kerajaan diberikan platform serta ruang munasabah, hak rakyat dari DUN bukan kerajaan akan terpelihara, di samping mewujudkan semak dan seimbang yang bernas dalam pentadbiran.

“Perjuangan kami memperkasakan peranan ADUN bukan kerajaan bermula sejak lama lagi dan ianya bukan untuk memanfaatkan PH atau mana-mana parti politik, tetapi demi mewujudkan sistem demokrasi lebih mantap dan seimbang,” katanya dalam kenyataan.

DUN Melaka mempunyai 28 kerusi, dengan 21 daripadanya milik Barisan Nasional, PH (5) dan PN (2).

Selasa lalu, PH Melaka mengesahkan pembentukan kerajaan perpaduan dengan BN di negeri itu sejajar perkembangan politik semasa di peringkat persekutuan.

Ini bermakna, lima wakil rakyat PH yang dahulunya berada dalam blok pembangkang, kini bertukar ke blok kerajaan di DUN Melaka. PN kekal sebagai pembangkang di negeri itu.

Kerk berkata, bentuk kerjasama antara wakil rakyat PH dan BN belum dibincangkan susulan pengumuman kerajaan perpaduan di Melaka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.