Nga mahu tindakan tegas terhadap penganjur pesta ria ‘Sotong Ride’

Nga mahu tindakan tegas terhadap penganjur pesta ria ‘Sotong Ride’

Nga Kor Ming berkata, dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor mengesahkan penganjur tidak mempunyai lesen untuk menjalankan pesta ria itu.

Tiga mangsa cedera selepas tercampak daripada permainan “Sotong Ride” di tapak pesta ria di Puncak Alam pada Isnin. (Gambar Facebook)
PUTRAJAYA:
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mahu tindakan tegas diambil terhadap penganjur tapak pesta ria di Puncak Alam yang beroperasi secara haram dan menyebabkan tiga manga cedera selepas tercampak dari satu permainan pada Ahad lalu.

Nga berkata, yang dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor mengesahkan penganjur tidak mempunyai lesen untuk menjalankan pesta ria itu.

“Tindakan tegas boleh diambil kepada pihak penganjur yang tidak dapat sebarang kebenaran atau tanpa lesen mengikut undang-undang,” katanya pada pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Presint 7, di sini pada Rabu.

Nga juga berharap tidak akan ada lagi pihak menganjurkan ‘fun fair’ tanpa permit yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) selepas ini.

Sinar Harian semalam melaporkan, dua wanita dan seorang kanak-kanak cedera selepas terjatuh dari “Sotong Ride” di tapak pesta ria di Puncak Alam.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Ramli Kasa berkata, kejadian itu disiasat mengikut Seksyen 6 Seksyen 6 (1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Selangor 1995 kerana beroperasi tanpa lesen.

Sementara itu, ketika mengulas cadangan bekas menteri perumahan dan kerajaan tempatan Zuraida Kamaruddin mengenai undang-undang bagi mengatasi diskriminasi kaum di pasaran hartanah, Nga berkata kementerian akan mengkaji semua cadangan.

Mengenai persediaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berdepan banjir, Nga memberitahu seramai 14,986 anggota sedia untuk dikerahkan.

Tambahnya, 5,235 titik panas banjir juga dikesan di seluruh negara.

Terdahulu, jabatan Jabatan Meteorologi Malaysia memberi amaran monsun timur laut menyebabkan hujan lebat berterusan selama empat hari dari 17 Dis di pantai timur, Semenanjung Malaysia.

Dalam laporan berasingan dalam The Star, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Helmi Abdullah berkata, cuaca hujan dijangka hingga awal tahun depan akibat monsun dan kitaran La Nina.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.