Akses pendidikan buat pelarian bawa manfaat pada Malaysia, kata aktivis

Akses pendidikan buat pelarian bawa manfaat pada Malaysia, kata aktivis

Ketua pertubuhan hak asasi Rohingya Zafar Ahmad Abdul Ghani berkata komuniti itu mampu memberi sumbangan kepada negara hos.

Pelarian dan golongan tidak bernegara boleh mendapat akses pendidikan menerusi program kerjasama dan penajaan dengan institusi dalam dan luar Malaysia. (Gambar Putri Purnama Sugua)
PETALING JAYA:
Memberi kebenaran kepada pelarian dan golongan tidak bernegara mendapat akses pendidikan formal akan memanfaatkan Malaysia dalam tempoh jangka panjang, kata aktivis Rohingya.

Zafar Ahmad Abdul Ghani yang mengetuai Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia, berkata dua golongan itu mampu menyumbang produktiviti negara hos sekiranya diberikan peluang kepada pendidikan rendah dan menengah.

“Mempunyai dasar dan pengurusan pelarian yang jelas serta komprehensif pasti akan memberi manfaat kepada pelarian dan negara hos.

“Ini boleh dilaksanakan dalam banyak kaedah, termasuk dalam program kerjasama dan penajaan dengan institusi pendidikan di Malaysia dan luar,” katanya dalam kenyataan.

Zafar Ahmad Abdul Ghani.

Beliau berkata, program seumpama itu tidak akan membebankan dan dijangka mengurangkan kadar kemiskinan dalam kalangan pelarian dan golongan tidak bernegara.

Zafar mengalu-alukan titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, pada Isnin, yang bertitah kerajaan perlu membuat semakan mengenai dasar yang menafikan kanak-kanak pelarian dan tidak bernegara mendapat akses pendidikan formal.

“Kami bersetuju dengan Tuanku Muhriz bahawa kita memerlukan penyelesaian jangka panjang dan holistik berhubung isu ini,” katanya.

Katanya, pertubuhannya bersedia menawarkan input kepada kerajaan memandangkan banyak faktor perlu diambil kira dalam memberi kebenaran kepada pelarian dan golongan tidak mempunyai kewarganegaraan mendapat akses pendidikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.