
Katanya, semua ADUN Warisan juga telah mengulangi kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada parti.
“Warisan telah mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi (AMT) di Kota Kinabalu pagi ini yang turut dihadiri wakil rakyat parti ini.
“Parti ini kekal utuh dan dakwaan kononnya ada ADUN yang melompat parti tidak benar.
“Khabar angin dan cakap-cakap ini ditimbulkan semula sebagai percubaan berniat jahat pihak tertentu untuk melemahkan dan menjatuhkan Warisan,” katanya dalam kenyataan.
Shafie berkata, AMT dan wakil rakyat Warisan juga telah sebulat suara menyatakan sokongan kepada kerajaan perpaduan dan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.
Dalam perkembangan sama, ADUN Karambunai, Azhar Matussin menafikan yang beliau bersama enam lagi wakil rakyat Warisan bakal meninggalkan Warisan dalam tempoh terdekat.
Beliau juga menafikan pernah menandatangani apa-apa dokumen akuan bersumpah (SD) untuk bertukar parti.
“Perkara ini tidak betul, saya tidak pernah menandatangani apa-apa SD bagi tujuan menukar sokongan kepada parti lain.
“Ini hanya sekadar mainan politik sekali gus sengaja menimbulkan isu yang dilihat tidak masuk akal serta hanya mengelirukan rakyat khususnya di peringkat akar umbi,” katanya dalam kenyataan.