PRN: PN sasar tawan N Sembilan, menang 19 kerusi

PRN: PN sasar tawan N Sembilan, menang 19 kerusi

Pengerusi PN negeri, Eddin Syazlee Shith berkata, kemenangan di Parlimen Padang Serai baru-baru ini memberi isyarat perkara itu tidak mustahil dicapai.

Pengerusi PN Negeri Sembilan, Eddin Syazlee Shith berkata, peluang mendominasi Negeri Sembilan besar, berdasarkan perkembangan terkini dalam negara serta perancangan teliti dan sistematik jentera parti. (Gambar Bernama)
SEREMBAN:
Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan menyasarkan memenangi sekurang-kurangnya 19 daripada keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang, sekali gus membolehkan gabungan itu membentuk kerajaan negeri.

Pengerusinya, Eddin Syazlee Shith berkata, meskipun bukan perkara mudah, tetapi dengan usaha barisan kepimpinan yang komited, selain kemenangan di Parlimen Padang Serai baru-baru ini memberi isyarat perkara itu tidak mustahil dicapai.

“Kita sasar lebih kurang dua hingga tiga kerusi di setiap Parlimen di negeri ini. Ia bukan tanggungjawab mudah, tapi dalam tempoh yang ada ini, kita gunakan sebaik mungkin untuk perbetulkan keadaan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) lepas.

“Insya Allah, banyak kita belajar daripada PRU15, saya harap kita kekalkan momentum supaya PRN kali ini kita lebih bersedia berdepan parti lawan, selain tumpuan kepada pengundi muda yang beri sokongan kepada PN,” katanya selepas Majlis Malam Apresiasi Jentera PN di sini, malam tadi.

Beliau berkata, peluang PN untuk mendominasi Negeri Sembilan juga besar, berdasarkan perkembangan terkini dalam negara serta perancangan teliti dan sistematik jentera parti.

DUN Negeri Sembilan ketika ini diwakili 20 wakil rakyat Pakatan Harapan dan 16 Barisan Nasional daripada keseluruhan 36 kerusi pada PRU14.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.