NGO Indonesia bidas kenyataan ‘tak beretika’ Saifuddin berkait layanan tahanan

NGO Indonesia bidas kenyataan ‘tak beretika’ Saifuddin berkait layanan tahanan

Kumpulan NGO membidas menteri dalam negeri yang menafikan tahanan di depot imigresen Sabah dilayan dengan buruk dan tidak berperikemanusiaan.

Dalam satu video tular, seorang lelaki kurus kering mendakwa tahanan tidak diberi makan dan minum secukupnya, sementara permintaan mendapatkan ubat tidak dilayan.
PETALING JAYA:
Sekumpulan NGO Indonesia mengecam Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail atas kenyataannya yang disifatkan “tidak beretika dan bertanggungjawab” dalam menafikan dakwaan layanan tidak berperikemanusiaan di depot tahanan imigresen di Sabah.

Kumpulan yang dikenali sebagai Gabungan Buruh Migran Berdaulat (KBMB) berkata, Saifuddin seperti “tiada empati” ketika mengulas satu video tular seorang lelaki kurus kering mendakwa keadaan dan layanan buruk di Depot Tahanan Imigresen Kimanis.

Jumaat lalu, Saifuddin dilaporkan berkata, lelaki dalam video itu memang dalam keadaan tidak sihat ketika ditahan pihak berkuasa.

Dalam video berkenaan, lelaki itu mendakwa tahanan tidak diberi makan dan minum secukupnya, manakala permintaan mendapatkan ubat juga tidak dilayan pegawai imigresen.

“Kenyataan menteri menafikan layanan buruk di depot tahanan imigresen yang menyebabkan kematian tahanan adalah tidak beretika, tidak bertanggungjawab dan tiada empati,” kata KBMB dalam kenyataan.

Kumpulan itu turut mengecam kenyataan Jabatan Imigresen Sabah menafikan penindasan terhadap tahanan di Depot Tahanan Imigresen Kimanis, dengan berkata penafian itu bercanggah siasatan mereka mengenai layanan terhadap tahanan.

Pengarah Imigresen Sabah, Sharifah Sitti Saleha Habib Yusof dilaporkan berkata, penahanan dan pengurusan tahanan di Sabah dilakukan mengikut undang-undang.

Katanya, jabatan itu juga memastikan semua tahanan mendapat layanan dan pengurusan sewajarnya, dari segi bekalan makanan dan rawatan perubatan.

Bagaimanapun, KBMB berkata, berdasarkan temu bual dengan tahanan yang dihantar pulang, ada bukti ramai dijangkiti pelbagai penyakit ketika ditahan, yang sebahagiannya meninggal dunia kemudian.

“Kematian ini dapat dicegah sekiranya kerajaan Malaysia komited menegakkan hak asasi manusia –terutama hak migran – dalam mengendalikan depot tahanan,” katanya.

KMBM juga mempersoalkan ketepatan kenyataan Saifuddin dan Sharifah kerana ia tidak menggambarkan siasatan kumpulan itu serta dakwaan lelaki dalam klip video berkenaan.

Jun lalu, kumpulan itu mengeluarkan laporan menyatakan Kedutaan Malaysia di Jakarta merekodkan 149 rakyat Indonesia mati di lima depot tahanan Sabah dalam tempoh 18 bulan antara 2021 hingga 2022.

Laporan itu yang dikeluarkan selepas temu bual dengan 100 bekas tahanan Indonesia, turut menyalahkan keadaan teruk dalam depot tahanan seperti tandas kotor dan terpaksa tidur atas lantai, sebagai punca kesihatan tahanan tidak baik. Kumpulan itu juga mendakwa tahanan sakit tidak dibawa ke hospital untuk dirawat.

Ketika itu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Khairul Dzaimee Daud menafikan laporan itu dengan berkata, hanya 24 warga Indonesia mati di depot tahanan Sabah sejak dua tahun lalu dan kebanyakan kematian itu berpunca daripada Covid-19, penyakit jantung dan penyakit lain.

Kedutaan Malaysia di Jakarta kemudiannya mengeluarkan kenyataan memohon maaf dan menjelaskan 149 individu yang meninggal dunia itu bukan semuanya warga Indonesia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.