Bekas wakil rakyat Bersatu Sabah dijangka sertai PGRS, menurut sumber

Bekas wakil rakyat Bersatu Sabah dijangka sertai PGRS, menurut sumber

Parti tempatan yang kurang terkenal, Parti Gagasan Rakyat Sabah didaftarkan pada 2013.

Ahli Parlimen dan ADUN dari Bersatu Sabah dijangka menyertai PGRS, menurut sumber.
PETALING JAYA:
Bekas pemimpin dan wakil rakyat Bersatu Sabah dijangka menyertai parti tempatan sedia ada namun tidak terkenal selepas mengumumkan tindakan keluar parti berkenaan, semalam, kata sumber.

Sumber memberitahu FMT, berkata bekas ADUN Bersatu dan Ahli Parlimen itu akan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), parti tempatan yang didaftarkan, pada 2013.

PGRS yang bertanding di 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), pada PRN Sabah yang berlangsung September 2020, bagaimanapun tumpas di semua kawasan ditandingi.

Pada Khamis, wakil rakyat Bersatu Sabah mengadakan mesyuarat yang turut dihadiri pemimpin utama negeri bagi membincangkan perkara itu. Gambar pertemuan mereka dimuat naik di media sosial, namun dipadam tidak berapa lama kemudian.

Semalam, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor, berkata beliau bersama pemimpin Bersatu Sabah lain keluar parti. Katanya, mereka akan membentuk parti tempatan baharu.

Hajiji berkata, keputusan “sebulat suara” keluar parti berkenaan dibuat atas dasar status quo yang tidak boleh lagi dipertahankan.

Katanya, tindakan itu demi kepentingan Sabah, demi perpaduan dan memenuhi hasrat serta aspirasi rakyat untuk terus berjuang bawah naungan sebuah parti tempatan.

Bersatu merupakan anggota dalam Perikatan Nasional (PN), bagaimanapun di Sabah parti itu menyertai GRS yang menerajui kerajaan negeri dengan kerjasama Barisan Nasional (BN).

GRS berikrar menyokong Anwar Ibrahim dalam kerajaan perpaduan, namun Bersatu dan PN membentuk blok pembangkang di Parlimen.

Terdahulu, GRS berulang kali menyokong Muhyiddin Yassin yang juga presiden Bersatu sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun, susulan keputusan PRU15 yang gagal memberikan mandat kepada mana-mana gabungan membentuk kerajaan, selain titah Yang di-Pertuan Agong mencadangkan pembentukan kerajaan perpaduan menjurus GRS bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Calon Bersatu Sabah bertanding atas tiket GRS dan menang enam kawasan Parlimen, pada PRU15. Gabungan itu juga menguasai 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Sabah belum lagi meluluskan undang-undang anti-lompat parti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.