3 sekeluarga maut dalam kemalangan di Perak

3 sekeluarga maut dalam kemalangan di Perak

Kemalangan berlaku pada 11 malam melibatkan kereta jenis Proton Saga dan Chevrolet.

Kemalangan maut melibatkan pasangan suami isteri serta seorang kanak-kanak lelaki namun identiti mangsa belum dikenalpasti. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Tiga sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak maut, manakala tiga lagi cedera dalam nahas jalan raya membabitkan dua kenderaan di Jambatan Tengku Permaisuri Bainun, Sitiawan, Perak malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, kemalangan berlaku pada 11 malam melibatkan kereta jenis Proton Saga dan Chevrolet.

“Terdapat lima mangsa dalam kereta Proton Saga namun tiga daripadanya maut manakala dua lagi cedera. Seorang mangsa wanita yang menaiki Chevrolet pula cedera.

“Kami menerima panggilan pada 11.13 malam dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan bergegas ke lokasi,” katanya menurut Astro Awani.

Katanya lagi, kemalangan itu turut menyebabkan kereta Chevrolet terbakar 80%.

“Bomba tidak menolak kemungkinan semua mangsa yang menaiki Proton Saga ada pertalian kekeluargaan.

Anggota bomba memadam api selepas kereta terbakar dalam kemalangan di Sitiawan, Perak. (Gambar Facebook)

“Mereka terbunuh ialah suami isteri dan seorang kanak-kanak lelaki manakala seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan cedera.

“Identiti dan hubungan kesemua mangsa dalam siasatan pihak polis,” katanya.

Mangsa yang cedera dibawa ke hospital berdekatan oleh petugas perubatan untuk rawatan lanjut.

Operasi menyelamat tamat pada 12.53 tengah malam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.