Saya fokus khidmat rakyat, bersih nama di mahkamah, kata Syed Saddiq

Saya fokus khidmat rakyat, bersih nama di mahkamah, kata Syed Saddiq

Presiden Muda itu berkata, pelantikan menteri dan timbalan menteri adalah prerogatif perdana menteri, oleh itu beliau menghormati mandatnya.

Bekas menteri belia dan sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak dilantik ke Jemaah Menteri pimpinan Anwar Ibrahim.
PETALING JAYA:
Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang tidak dilantik dalam Jemaah Menteri, menyifatkannya hikmah kerana beliau mempunyai lebih banyak masa berkhidmat kepada rakyat dan memfokuskan usaha membersihkan namanya di mahkamah.

Bekas menteri belia dan sukan itu berkata, pelantikan menteri dan timbalan menteri adalah prerogatif perdana menteri, oleh itu beliau menghormati mandatnya.

Beliau berkata, tiada tembok kuasa yang memisahkan Muda dengan rakyat, walaupun beliau tidak terpilih menyertai Jemaah Menteri pimpinan Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, beliau kini boleh memfokuskan usaha membela rakyat, membangunkan kawasan Parlimennya dan kes mahkamahnya.

“Dalam perjumpaan saya dengan perdana menteri, saya tekankan saya tidak mahu kes saya digugurkan kerana saya mahu keadilan ditegakkan di dalam mahkamah. Berani kerana benar.

“Masa untuk berpolitik (telah) tamat. Mari fokus berkhidmat,” katanya dalam video yang dimuat naik ke Facebooknya.

Pada 27 Okt lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Syed Saddiq membela diri atas empat tuduhan, termasuk pecah amanah dana RM1.12 juta yang dikaitkan dengan Pemuda Bersatu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.