
M Ramachandran, pengarah eksekutif Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB), berkata ia bermula 2018 dan membabitkan penggunaan dana lembaga itu, yang beliau percaya disalurkan kepada kroni dan kepentingan politik.
Katanya, beliau diketepikan dan menjadi sasaran kempen fitnah disebabkan aduannya.
Sidang media Ramachandran di Lebuh Kikik di sini, diganggu sekurang-kurangnya 20 individu yang menyerbu pejabatnya.

Polis yang dipanggil untuk menyuraikan kumpulan mahu menyertai sidang media itu berkata, mereka juga ingin bertanya soalan. Sidang media itu kemudian dibatalkan dan diadakan di sebuah hotel berdekatan.
Ramachandran menafikan dakwaan beliau mengambil wang PHEB, menyembunyikan derma kepada kuil atau memberi kontrak kepada saudara maranya.
“Individu yang diberi kuasa mengeluarkan wang daripada lembaga ialah Pengerusi, P Ramasamy dan Setiausaha, R Surenthran. Saya tiada kuasa untuk beri kontrak. Lembaga itu badan berkanun awam, bukan syarikat sendirian berhad. Saya tak sentuh 1 sen pun daripada sumbangan kuil.”
Semalam, Ramasamy yang juga timbalan ketua menteri Pulau Pinang, menggantung tugas Ramachandran sementara menunggu siasatan ke atas dakwaan salah laku.
Ramachandran berkata, jika Ramasamy dapat membuktikan dakwaannya, “saya akan melutut di depannya dan mohon maaf”.
Dakwa guna dana untuk manfaat pemimpin politik
Ramachandran mendakwa keadaan dalam PHEB berubah mulai 2018, dengan dananya didakwa digunakan untuk memanfaatkan pemimpin politik dan diberikan kepada penerima tidak layak. Katanya, sebuah kelab persendirian turut diberikan RM250,000.
“Saya mempersoalkan semua ini dan ada yang marah.”
Katanya, disebabkan keengganannya meluluskan bayaran untuk perkara tidak berkaitan PHEB, beliau diketepikan dan kuasanya sebagai pentadbir dibatalkan.
Ramachandran berkata, beliau membuat percubaan sia-sia untuk menemui Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook selepas mendakwa diugut dan kemudian membuat laporan polis.
Katanya, beliau akan membantah penggantungannya di mahkamah, kurang sebulan selepas diberikan surat penghargaan atas perkhidmatannya dan dijanjikan bayaran ex-gratia RM50,000 menjelang persaraannya selepas 11 tahun.
Respons Ramasamy
Ramasamy ketika dihubungi berkata, Ramachandran tidak pernah menggunakan saluran dalaman untuk menyuarakan aduannya.
Beliau mendakwa Ramachandran digantung tugas akibat projek CCTV yang diberikan kepada menantunya bersama projek pendahuluan tunai RM5,000.
Beliau turut menafikan dakwaan menghantar sekumpulan orang untuk mengganggu sidang media itu dan tidak membenarkan tindakan samseng.
Lembaga wakaf itu ialah badan berkanun yang ditubuhkan pada 1906 di bawah Akta Wakaf Hindu untuk mentadbir semua wakaf termasuk tanah, hartanah, bangunan, rumah, tanah perkuburan, kuil dan wang yang diberikan bagi manfaat masyarakat Hindu di Pulau Pinang.