
Semua timbalan menteri itu melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia, sebelum menandatangani dokumen rasmi pelantikan dengan disaksikan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara, Zuki Ali.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan isteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail turut hadir menyaksikan Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia yang bermula 3 petang tadi.
Dua timbalan perdana menteri, iaitu Ahmad Zahid Hamidi yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah serta Fadillah Yusof selaku menteri perladangan dan komoditi, hadir bersama isteri masing-masing.
Hadir sama Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani dan Panglima Angkatan Tentera, Affendi Buang.
Semua timbalan menteri di bawah kerajaan perpaduan itu mengangkat sumpah jawatan hari ini susulan pengumuman oleh Anwar malam tadi.
Pada istiadat itu, timbalan menteri itu dibahagikan kepada empat kumpulan dengan kumpulan pertama dimulai dua timbalan menteri kewangan, iaitu Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan dan Setiausaha Organisasi DAP, Steven Sim.
Kumpulan itu turut terdiri daripada Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang yang dilantik timbalan menteri kemajuan desa dan wilayah; Ahli Parlimen Beaufort, Siti Aminah Aching sebagai timbalan menteri perladangan dan komoditi; Hasbi Habibollah selaku timbalan menteri pengangkutan; Chan Foong Hin sebagai timbalan menteri pertanian dan keterjaminan makanan serta Hanifah Hajar Taib sebagai timbalan menteri ekonomi.
Kumpulan kedua pula terdiri daripada tujuh timbalan menteri, iaitu Pengarah Strategi PKR, Akmal Nasir (timbalan menteri pembangunan kerajaan tempatan); Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari (timbalan menteri pertahanan) dan Abdul Rahman Mohamad (timbalan menteri kerja raya).
Turut berada dalam kumpulan sama ialah Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Shamsul Anuar Nasarah (timbalan menteri dalam negeri); Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong (timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri); Ahli Parlimen Lahad Datu, Yusof Apdal (timbalan menteri pendidikan tinggi) dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Arthur Joseph Kurup (timbalan menteri sains, teknologi dan inovasi).
Kumpulan ketiga pula diketuai Ketua Wanita Amanah, Aiman Athirah Sabu (timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat), diikuti bekas ketua Wanita PKR, Senator Fuziah Salleh (timbalan menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup) dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh selaku timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan reformasi institusi).
Ahli Parlimen Sarikei, Huang Tiong Sii sebagai timbalan menteri sumber asli, alam sekitar dan perubahan iklim; Naib Presiden PKR, Senator K Saraswathy (timbalan menteri pembangunan usahawan dan koperasi); Ahli Parlimen Kimanis, Mohamad Alamin (timbalan menteri luar negeri) dan Ahli Parlimen Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar Khan (timbalan menteri pelancongan, seni dan budaya).
Kumpulan terakhir terdiri daripada Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching (timbalan menteri komunikasi dan digital); Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying (timbalan menteri pendidikan); Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli (timbalan menteri belia dan sukan); Ahli Parlimen Sepanggar, Mustapha Sakmud (timbalan menteri sumber manusia); Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni (timbalan menteri kesihatan) dan Ahli Parlimen Hulu Rajang, Wilson Ugak Kumbong sebagai timbalan menteri di JPM (Hal ehwal Sabah, Sarawak dan tugas-tugas khas).