Tak minat sertai PAS, PN, kami ‘intai’ parti PH lain, kata bekas ahli Amanah

Tak minat sertai PAS, PN, kami ‘intai’ parti PH lain, kata bekas ahli Amanah

Bekas pengerusi Amanah Kedah Phahrolrazi Zawawi, yang dipecat pada Oktober berkata, tiada ketetapan dalam PH bahawa tidak boleh berlaku perpindahan ahli.

Bekas pengerusi Amanah Kedah Phahrolrazi Zawawi berkata lebih ramai ahli dan pemimpin Amanah negeri itu akan keluar parti dalam masa terdekat. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Bekas pengerusi Amanah Kedah Phahrolrazi Zawawi yang dipecat daripada parti bulan lalu memaklumkan tidak berminat menyertai semula PAS atau Perikatan Nasional (PN).

Katanya, beliau bersama lebih 200 individu lain terdiri bekas pemimpin dan ahli Amanah Kedah yang mengumumkan keluar parti bulan lalu akan menyertai satu parti lain dalam gabungan Pakatan Harapan (PH).

“Kita buat keputusan untuk sertai salah satu parti dalam PH juga, tapi buat masa ini kita tak umum dulu parti mana.

“Kita tidak berminat kembali kepada PAS atau parti dalam gabungan PN,” katanya kepada FMT ketika ditanya sama ada terdapat tawaran menyertai semula PAS atau PN selepas dipecat Amanah.

Beliau turut memaklumkan akan ada lebih ramai ahli dan pemimpin Amanah Kedah yang akan keluar parti dalam masa terdekat, susulan pengundian bagi kerusi Parlimen Padang Serai.

“Ramai nak tunggu selepas hari mengundi Parlimen Padang Serai, lepas itu akan keluar Amanah ramai lagi,” katanya.

Ditanya sama ada tindakan pihaknya ingin menyertai parti PH lain akan menyebabkan gabungan itu semakin berpecah dan dituduh mencuri ahli, Phahrolrazi yang juga ADUN Alor Mengkudu berkata, ia bukan perkara baru memandangkan bekas wakil rakyat Amanah sebelum ini menyertai parti lain termasuk PKR.

“Sebenarnya isu perpindahan parti dalam PH sudah berlaku di Johor, Selangor sebelum ini melibatkan wakil rakyat Amanah masuk parti lain (PKR) dalam gabungan.

“Dalam PH tiada ketetapan bahawa tak boleh berlaku perpindahan. Apabila tak sehaluan dengan parti A, boleh pergi ke parti B, ia tak dianggap satu permusuhan sebab masih lagi satu gabungan,” katanya.

Phahrolrazi dipecat daripada Amanah pada 30 Okt kerana didapati melanggar perlembagaan, mengingkari keputusan parti dan melakukan perbuatan bertentangan kepentingan parti.

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad menjelaskan Phahrolrazi dipecat kerana cuba menghasut pimpinan dan ahli Amanah Kedah supaya memboikot PRU15.

Susulan itu, lebih 200 individu termasuk Speaker Amanah Kedah Kassim Mat Isa dan timbalannya Jamil Che Dan, Ketua Pemuda Negeri Mohd Ridzwan Arshad Ahmad serta hampir seluruh kepemimpinan Pemuda Amanah negeri meninggalkan parti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.