Masukkan hak kepada persekitaran mampan dalam perlembagaan, Suhakam gesa kerajaan

Masukkan hak kepada persekitaran mampan dalam perlembagaan, Suhakam gesa kerajaan

Pengerusi Suhakam Rahmat Mohamad berkata, ini selaras dengan resolusi PBB untuk akses kepada persekitaran yang sihat sebagai hak asasi manusia sejagat.

Pengerusi Suhakam Rahmat Mohamad berkata pihaknya mendesak kerajaan memasukkan hak kepada persekitaran yang bersih dan sihat dalam perlembagaan. (Gambar Freepik)
KUALA LUMPUR:
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mahu kerajaan memasukkan hak kepada persekitaran yang sihat, bersih dan mampan dalam Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan.
Rahmat Mohamad.

Pengerusi Suhakam Rahmat Mohamad berkata, ini selaras dengan resolusi yang diterima pakai oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 28 Julai 2022 untuk mengisytiharkan akses kepada persekitaran yang sihat sebagai hak asasi manusia sejagat.

Perkara 5(1) menyatakan bahawa tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang.

“Kami mahu kerajaan menyemak semula Perkara 5(1) untuk memasukkan hak untuk mendapatkan persekitaran yang sihat, bersih dan mampan,” kata Rahmat kepada FMT.

Beliau berkata, sudah tiba masanya kerajaan memberi perhatian khusus kepada alam sekitar disebabkan perubahan iklim dan isu alam sekitar lain yang berleluasa.

Rahmat berkata, dengan hak untuk mendapatkan persekitaran sihat dan bersih yang termaktub dalam perlembagaan, penguatkuasaan terhadap isu alam sekitar dapat diperketatkan dan tumpuan terhadap alam sekitar akan diperbaharui.

“Ini sesuatu yang serius di seluruh dunia, dan saya rasa orang ramai akan menyokong langkah ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.