
Azmil Tayeb daripada Universiti Sains Malaysia berkata, sukar untuk dikatakan sama ada kedua-dua keputusan pilihan raya itu ialah “teguran” terhadap kerajaan kerana ia baru sahaja dibentuk.
“Saya rasa keputusan (Padang Serai dan Tioman) hanyalah lanjutan kepada trend pengundian yang kita lihat pada PRU15, yang menyaksikan kebanyakan kawasan majoriti Melayu memilih PN,” katanya kepada FMT.
PN memenangi 73 kerusi pada PRU15.
Ditanya sama ada PH-BN akan menang di Padang Serai jika calon BN C Sivaraj dibenarkan bertanding, Azmil berkata, perkara itu tidak membawa perbezaan kerana arus PN di wilayah utara “terlalu kuat untuk ditentang oleh seorang personaliti”.
Mengenai jangkaan keputusan PRN Kedah tahun depan, beliau berkata, ia bergantung kepada masa pilihan raya diadakan.
“Jika (PRN) diadakan dalam masa terdekat, kita akan lihat arus PN yang serupa di peringkat negeri,” katanya.
Beliau berkata, PH dan BN harus bekerjasama pada PRN untuk mengatasi keuntungan besar PN, kerana ia akan menghalang pertembungan banyak penjuru di kerusi majoriti Melayu. Kedua-dua pihak boleh mendasarkan kempen mereka pada pencapaian 100 hari pertama kerajaan.
Pendapat James Chin daripada Universiti Tasmania senada dengan Azmil, bahawa kedua-dua pakatan harus bekerjasama pada PRN.
Katanya, menjadi “kegilaan” jika mereka bertelagah selepas membentuk kerajaan persekutuan bersama.
Chin juga berkata, kemenangan PN di Padang Serai telah dijangka kerana Kedah adalah salah satu pangkalan teras PAS. Tiada apa-apa yang akan berubah untuk PH-BN sekalipun Sivaraj bertanding mencabar PN, tambahnya.
Mengenai PRN Kedah tahun depan, beliau berkata, keputusannya sukar untuk diramalkan kerana ia bergantung kepada penerimaan pengundi Melayu terhadap kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.
“Faktor penentunya adalah sama ada orang Melayu gembira dengan kerajaan Anwar. Jika mereka tidak berpuas hati, maka PN satu-satunya pilihan yang mereka ada,” katanya.
Calon PN Azman Nasrudin memenangi kerusi Padang Serai – kubu kuat PKR sejak 14 tahun lepas – dengan majoriti 16,260 undi, mengalahkan Sofee Razak daripada PH.
Di Tioman, calon BN Johari Hussain menang dengan majoriti tipis 573 undi dalam pertembungan lima penjuru.