Anwar umum senarai timbalan menteri malam ini

Anwar umum senarai timbalan menteri malam ini

Perdana menteri dijangka menghadap Agong petang ini.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau akan mengumumkan senarai timbalan menteri kerajaan pimpinannya malam ini.
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan mengumumkan senarai timbalan menteri pada 8.15 malam ini selepas bertemu Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Anwar berkata, beliau akan menghadap Agong petang ini.

“Saya akan hadap Agong petang ini, Insya-Allah 8.15 malam akan umumkan nama timbalan menteri,” katanya ketika ditemui di Masjid Jamek Kampung Baru.

Terdahulu, Berita Harian yang memetik sumber berkata Anwar dijadual menghadap Agong petang ini, bagi memaklumkan senarai timbalan menteri bakal dilantik menyertai pentadbiran kerajaan diterajuinya.

Menurutnya, ia bagi melengkapkan pentadbiran kerajaan selepas pelantikan 28 anggota Jemaah Menteri yang mengangkat sumpah jawatan masing-masing pada 3 Dis lalu.

Lazimnya, senarai timbalan menteri yang terpilih akan diumumkan oleh perdana menteri, sebelum mereka mengangkat sumpah jawatan masing-masing di hadapan Agong esok.

Terdahulu, sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Baru, Anwar singgah makan tengah hari di kedai makan An Nur Tom Yam bersama Ahli Parlimen Titiwangsa,Johari Abdul Ghani dan Menteri Agama Mohd Naim Mokhtar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.