Annuar dipecat daripada Umno, menurut sumber

Annuar dipecat daripada Umno, menurut sumber

Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu didakwa memburuk-burukkan parti dan menyokong lawan Umno pada PRU15.

Annuar Musa bersama Umno sejak 1979. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas Ahli Parlimen Ketereh Annuar Musa adalah antara tiga pemimpin bahagian Umno yang dipecat oleh parti itu malam tadi, menurut sumber.

Semalam, dilaporkan Umno memecat seorang ketua bahagian dan ketua Wanita Umno dua bahagian kerana memburuk-burukkan parti dan menyokong lawan pada pilihan raya umum lalu.

Bagaimanapun, Ahli Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi yang memaklumkan kepada media mengenai pemecatan itu namun tidak mendedahkan identiti pemimpin parti tersebut.

Beberapa sumber Umno mendedahkan bahawa Annuar, bekas setiausaha agung Barisan Nasional adalah ketua bahagian yang dipecat.

Annuar, Ketua Umno Bahagian Ketereh, bersama Umno sejak 1979. Beliau digugurkan daripada senarai calon BN pada PRU15.

Annuar sebelum ini dilabel sebagai “mesra Bersatu” oleh penyokong Umno kerana desakan beliau untuk menyatukan parti itu dengan PAS dan Bersatu.

“Dua lagi yang dipecat adalah ketua Wanita bahagian Arau dan Maran,” kata satu sumber.

Sebelum ini, bekas Ahli Parlimen Arau dan Maran daripada Umno, Shahidan Kassim dan Ismail Abd Muttalib, turut digugurkan daripada senarai calon BN pada PRU lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua pemimpin itu akhirnya mempertahankan kerusi mereka selepas bertanding pada PRU15 menggunakan logo Perikatan Nasional.

“Lebih ramai (pemimpin) akan dipecat (dalam masa) terdekat,” kata sumber itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.