
Pengarahnya, Nor Aziah Jaafar berkata, pemeriksaan pihaknya mendapati ketiga-tiga kontena itu mengandungi bahan buangan, iaitu perkakasan komputer terpakai berserta wayar yang diimport daripada Amerika Syarikat dan Sepanyol.
“Pemeriksaan turut mendapati pengimport mengikrar bahan dagangan sebagai sekerap aluminium bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Notis arahan di bawah Seksyen 31(1) dan Seksyen 37(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1975 akan dikeluarkan kepada syarikat pengimport untuk memulangkan kontena itu ke negara asal di bawah prosedur Konvensyen Basel,” katanya dalam kenyataan.
Antara prinsip utama Konvensyen Basel ialah buangan berbahaya hendaklah dilupuskan dalam negara di mana buangan itu dihasilkan dan pergerakan buangan berbahaya merentasi sempadan hanya dibenarkan, jika diuruskan secara mesra alam serta mendapat persetujuan negara pengimport.
Nor Aziah berkata, tahun ini, JAS Selangor mengeluarkan 18 notis arahan kepada syarikat pengimport, melibatkan 30 kontena mengandungi sisa elektronik, sisa plastik terpakai, buangan bateri terpakai dan komponen enjin, untuk dipulangkan ke negara asal, antaranya AS, Latvia, Korea Selatan dan Mexico.
“Hasil buangan ini dibawa masuk untuk diproses bagi mendapatkan komponen logam berharga oleh operator haram.
“Apa yang membimbangkan adalah operator tidak berlesen dengan JAS ini menggunakan kaedah konvensional serta menyebabkan pencemaran bau dan sungai.”
Katanya, JAS Selangor komited membanteras jenayah alam sekitar rentas sempadan bagi mengelakkan negeri ini dijadikan tempat pelupusan buangan negara asing.