Tetap pertahan kebebasan bersuara tapi jangan sampai memfitnah, kata Fahmi

Tetap pertahan kebebasan bersuara tapi jangan sampai memfitnah, kata Fahmi

Menteri komunikasi dan digital itu berkata, wujudnya penetapan garis panduan yang perlu dipatuhi dalam pengurusan hak kebebasan bersuara, tindakan undang-undang akan dikenakan sekiranya ia melepasi batasan yang ditetapkan.

Fahmi Fadzil berkata wujud penetapan garis panduan yang perlu dipatuhi dalam pengurusan hak kebebasan bersuara.
KUALA LUMPUR:
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil akan tetap terus mempertahankan kebebasan bersuara namun menegaskan, ia bukanlah tanpa batasan dan berunsur fitnah yang tidak berasas.

“Rakyat jangan salah faham, memang kita akan mempertahankan hak bersuara, tetapi jangan sampai mengeluarkan fitnah atau tohmahan yang tak berasas.

“Biarlah perkara yang kita sebutkan berasas serta boleh kita pertahankan, termasuk mempertahankannya di mahkamah,” katanya dalam sidang media hari ini.

Fahmi berkata, wujud penetapan garis panduan yang perlu dipatuhi dalam pengurusan hak kebebasan bersuara.

Katanya, selaku menteri bertanggungjawab beliau akan terus mempertahankan hak bersuara, namun perlu dibatasi peruntukan undang-undang termasuk Kanun Keseksaan mahupun Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Ini bermasuk sekiranya sesuatu yang dikeluarkan melepasi batasan, maka wujudnya tindakan undang-undang,” katanya.

Menurut Fahmi lagi, jalinan kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia mahupun penyedia media sosial diyakini dapat mencapai hasrat kerajaan dalam menjaga hak bersuara, serta pada masa yang sama memastikan batas undang-undang sentiasa diawasi.

Bagaimanapun, beliau tidak ingin memberi maklum balas berhubung kenyataan Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin bahawa penipuan PH dan BN dalam PRU15 adalah ‘the biggest electoral fraud ever’.

Semalam, Muhyiddin berkata, kemenangan besar PN di Parlimen Padang Serai dan kekalahan tipis di DUN Tioman membuktikan rakyat menolak kerajaan perpaduan PH dan BN.

“Kecewa dengan penipuan pemimpin PH dan BN semasa kempen PRU15, ramai penyokong kedua-kedua parti ini beralih arah menyokong PN.

“Bagi saya, penipuan PH dan BN dalam PRU15 adalah ‘the biggest electoral fraud ever (penipuan pilihan raya terbesar)’ dan hari ini pengundi di Padang Serai dan Tioman memberi isyarat jelas mereka tidak merestui tindakan kedua-dua parti ini,” katanya di Facebook.

Terdahulu, ketika memerintah kerajaan, PH dilihat komited untuk memperjuangkan kebebasan bersuara sejajar dengan manifesto gabungan berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.