Saya tidak pernah berduaan dengan Jho Low, kata pegawai bank

Saya tidak pernah berduaan dengan Jho Low, kata pegawai bank

Bekas pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu berkata, beliau beberapa kali datang ke apartment Jho Low untuk bermesyuarat dengan beberapa individu lain.

Bekas pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu memberitahu mahkamah, beliau dan Jho Low hanya rakan kerja yang rapat.
KUALA LUMPUR:
Seorang saksi pendakwa raya dalam perbicaraan 1MDB Najib Razak hari ini berbalah dengan peguam bekas perdana menteri itu berhubung peranan sebenar Low Taek Jho dalam Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).

Bekas pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa ahli perniagaan dalam buruan yang dikenali sebagai Jho Low, memaklumkan kepada bank dalam satu pertemuan pada 2009 bahawa dia adalah penasihat kepada lembaga penasihat TIA.

Peguam bela Najib, Shafee Abdullah bagaimanapun mempertikai jawapan Yu, dan menegaskan Low memberitahu wanita itu dia adalah penasihat Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

“Saya tidak ingat Jho (Low) berkata dia adalah penasihat sultan,” kata Yu yang beberapa kali mengulangi jawapan itu selepas diasak oleh Shafee yang berkali-kali bertanya soalan yang sama.

Hakim Collin Lawrence Sequerah kemudiannya mencelah dan memberitahu Shafee beliau boleh membangkitkan perkara itu dalam hujahan ketika menutup kes pembelaan.

Yu juga memberitahu mahkamah beliau kali pertama bertemu Low pada 2007, dan selama beberapa tahun, lelaki itu menjadi rakan kerja yang rapat.

Katanya, Low biasanya mengadakan mesyuarat di apartment lelaki itu di Jalan Kia Peng pada hujung minggu.

“Saya nampak Casey (Tang Keng Chee), Tan Vern Tact, Kee Kok Thiam, Jasmine Loo, Shahrol Azral (Ibrahim Halmi) dan Jerome Lee di sana,” kata Yu yang menegaskan beliau tidak pernah bersendirian dengan Low.

Tang, Tan, Kee dan Loo – semuanya masih bebas – dikaitkan dengan Low. Lee adalah pengarah eksekutif kumpulan Putrajaya Perdana Bhd manakala Shahrol adalah bekas CEO 1MDB.

Ketika ditanya peguam bela sama ada Amhari Efendi Nazaruddin juga ada dalam pertemuan di apartment itu, Yu berkata, beliau tidak mengenali lelaki itu.

Amhari adalah pegawai khas Najib. Amhari sebelum ini memberi keterangan beliau membawa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) ke apartment Low ketika direman pada 2018.

Perbicaraan itu akan disambung di hadapan Sequerah pada 12 Dis.

Najib berdepan 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa berhubung dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan dalam akaun AmBank miliknya antara Feb 2011 dan Dis 2014.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.