Polis tahan 4 lelaki rampas syabu RM13.26 juta

Polis tahan 4 lelaki rampas syabu RM13.26 juta

Polis berkata suspek ditahan ketika memindahkan dadah berkenaan kepada pengedar di kawasan parkir di sebuah pusat beli belah di Shah Alam.

Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed melihat bungkusan dadah jenis syabu bernilai RM13.26 juta yang dirampas.
SHAH ALAM:
Polis merampas dadah jenis Methamphetamine bernilai RM13.26 juta dan menahan empat lelaki tempatan termasuk seorang pelajar kolej swasta, dalam dua serbuan di Putrajaya, Isnin lepas.

Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed berkata suspek berusia antara 22 dan 37 tahun yang bertindak sebagai penghantar atau ‘transporter’ itu, diberkas dalam serbuan pertama semasa mereka sedang memindahkan dadah kepada pengedar di kawasan parkir sebuah pusat beli belah sekitar jam 1.40 petang.

Beliau berkata hasil serbuan tersebut, polis menemui dan merampas 350 bungkusan plastik teh Cina yang disyaki dadah seberat 355.75 kg, di dalam kereta jenis Vellfire di parkir tersebut.

“Dalam serbuan kedua di sebuah kondominium, polis merampas 23 bungkusan terdiri daripada 22 bungkusan plastik hijau bertulis teh Cina dan satu plastik lutsinar.

“Kesemua bungkusan ini mengandungi dadah jenis syabu dengan berat 23.09 kg yang ditemui dalam sebuah bilik unit kondominium itu ketika serbuan dijalankan,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Arjunaidi berkata sumber bekalan dadah tersebut dipercayai diperoleh dari negara jiran untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang.

Beliau berkata tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, menerusi penyitaan dua buah kereta jenis Nissan Navara dan Honda CRV, satu akaun bank serta seutas jam tangan yang keseluruhannya bernilai RM240,504.

“Hasil semakan terhadap suspek-suspek tersebut mendapati mereka mempunyai kes lampau di bawah Seksyen 39B dan 12 (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 394 dan 395/170 Kanun Keseksaan.

“Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap mereka juga mendapati hanya dua orang suspek positif dadah iaitu tetrahydrocannabinol (THC) dan Opiate,” katanya.

Tambahnya, kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Dalam pada itu, Arjunaidi memaklumkan seramai 135 kaki judi bola sepak Piala Dunia 2022 ditahan menerusi OP SOGA, dalam 119 serbuan di seluruh Selangor sejak 19 Nov hingga semalam.

“Penahanan tersebut melibatkan 128 warga tempatan dan tujuh warga asing termasuk rampasan pelbagai barangan meliputi enam buah komputer, tiga laptop, 193 telefon bimbit dan wang tunai lebih RM264,000.

“Setakat ini, seramai 29 orang dituduh di mahkamah dengan 87 kertas siasatan masih disiasat dan tiga diklasifikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.