
Pengerusi PN berkata, keputusan pilihan raya semalam memberi isyarat jelas pengundi tidak yakin dengan kemampuan kerajaan perpaduan diterajui PH mentadbir negara.
“Kecewa dengan penipuan pemimpin PH dan BN semasa kempen PRU15, ramai penyokong kedua-kedua parti ini beralih arah menyokong PN.
“Bagi saya, penipuan PH dan BN dalam PRU15 adalah ‘the biggest electoral fraud ever (penipuan pilihan raya terbesar)’ dan hari ini pengundi di Padang Serai dan Tioman memberi isyarat jelas mereka tidak merestui tindakan kedua-dua parti ini,” katanya di Facebook.
Azman Nasrudin daripada PN menang kerusi Padang Serai dengan majoriti 16,260 undi berbanding pencabar terdekat Sofee Razak daripada PH.
Di DUN Tioman, calon BN Johari Hussain mengekalkan kemenangan di kerusi itu dengan majoriti tipis 573 undi.
Muhyiddin yang juga presiden Bersatu berkata, keputusan itu menunjukkan rakyat tidak teruja dengan gabungan BN-PH, berdasarkan majoriti BN merosot hampir separuh di Tioman dan majoriti PN di Padang Serai meningkat dua kali ganda berbanding dimenangi PH pada PRU14.
“Kemenangan besar PN di Padang Serai dan kekalahan tipis di Tioman merupakan petanda positif sokongan padu rakyat kepada PN. Kedua-kedua kerusi ini masing-masing dimenangi oleh PH dan BN dalam PRU14.”
Semalam, Pengerusi PH Kedah, Mahfuz Omar, berkata kekalahan besar PH di kerusi Padang Serai kepada PN bukan isyarat penolakan rakyat terhadap kerjasama dengan BN, sebaliknya hasil gelombang PRU15 kepada gabungan itu yang belum reda.
Mahfuz turut mendakwa antara faktor kekalahan PH di Padang Serai kerana pengundi terpengaruh dengan agenda perkauman dan agama dimainkan lawan.