Pelaksanaan 5G akan disambung secepat mungkin, kata menteri

Pelaksanaan 5G akan disambung secepat mungkin, kata menteri

Fahmi Fadzil berkata perdana menteri memaklumkan beliau tidak mahu sebarang gangguan dalam pelaksanaan itu selepas menangguhkannya untuk disemak semula.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Isnin mengarahkan pelaksanaan rangkaian 5G disemak semula kerana ia dilakukan ‘tanpa proses tender yang sewajarnya’. (Gambar Reuters)
PUTRAJAYA:
Kerajaan akan memastikan pelaksanaan rangkaian 5G negara akan disambung secepat mungkin sementara menunggu ia disemak semula, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Fahmi dalam sidang media berkata, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberitahu dalam mesyuarat pagi tadi bahawa beliau tidak mahu sebarang gangguan dalam pelaksanaan itu.

“Beliau mahu ia dilakukan secepat mungkin. Negara lain sudah laksanakan dan ada negara yang sudah merancang mengenai 6G, jadi kita perlu cepat supaya ia dilaksanakan segera,” katanya.

Anwar pada Isnin berkata pelaksanaan rangkaian 5G perlu disemak semula kerana ia dilakukan “tanpa proses tender yang sewajarnya”.

Digital Nasional Berhad (DNB), syarikat milik kerajaan yang menguruskan pelaksanaan itu berkata, proses tender untuk rangkaian itu dilakukan dengan telus dan diuruskan firma akauntan terkenal Ernst & Young.

Apabila ditanya adakah DNB akan diletakkan bawah kementeriannya bukan di Kementerian Kewangan, Fahmi berkata, Jemaah Menteri akan memutuskan perkara itu.

“Ketika ini Jemaah Menteri memutuskan kedua-dua kementerian akan memantau situasi.

“Terdapat banyak perkara yang perlu kita lihat. Jadi beri kami sedikit masa dan kami akan memberi lebih penjelasan pada minggu depan,” katanya.

Pada Oktober lalu, bekas menteri kewangan Tengku Zafrul Aziz mengumumkan semua syarikat telekomunikasi utama telah menandatangani perjanjian dengan DNB, pembekal tunggal operator rangkaian 5G Malaysia.

Enam syarikat itu ialah Maxis, U Mobile, Celcom Axiata, Digi Telecommunications, YTL Communications dan Telekom Malaysia (TM).

Bagaimanapun, Maxis dilaporkan ia mahu mendapatkan persetujuan pemegang saham sebelum memasuki perjanjian dengan DNB.

Pada sidang media sama Fahmi turut mengumumkan pertukaran nama kementeriannya kepada Kementerian Komunikasi dan Digital.

Sebelum ini kementerian berkenaan dikenali sebagai Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Katanya, perkara itu juga sudah disahkan ketua setiausaha kementerian pagi tadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.