Usaha tumbang kerajaan Anwar hanya pandangan peribadi, kata Shahidan

Usaha tumbang kerajaan Anwar hanya pandangan peribadi, kata Shahidan

Ahli Parlimen Arau itu berkata, beliau tidak mempunyai maklumat mengenai usaha menjadikan PN kerajaan kerana beliau tiada jawatan dalam gabungan itu.

Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim berharap gerakan menjadikan PN sebagai kerajaan berlaku, walaupun rancangan itu sebenarnya tidak wujud.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim menjelaskan kenyataan berhubung usaha menumbangkan kerajaan perpaduan diterajui Perdana Menteri, Anwar Ibrahim hanya pandangan peribadinya.

Bekas menteri besar Perlis itu berharap gerakan berkenaan berlaku, walaupun rancangan terbabit sebenarnya tidak wujud.

“Rancangan (Perikatan Nasional jadi kerajaan) itu hanyalah kenyataan peribadi saya, yang saya berharap dan berdoa supaya perkara itu berlaku. Itu saja.

“Apabila saya kata ada usaha itu semua, ia usaha sayalah. Cumanya, jika benar ada usaha itu (daripada pihak lain), sudah pasti saya sokong jadikan PN kerajaan,” katanya menurut laporan Malaysiakini.

Shahidan berkata, beliau tidak mempunyai maklumat mengenai usaha menjadikan PN kerajaan kerana beliau tiada jawatan dalam gabungan itu.

“Saya tidak dimaklumkan sebarang usaha atau menyusun apa-apa rancangan (jadikan PN kerajaan) kerana saya tidak ada jawatan dalam PAS atau pun Bersatu sendiri.

“Bahkan saya juga tak boleh bercakap bagi pihak PAS atau Bersatu, saya cuma Ahli Parlimen PN yang bertanding atas tiket PAS. Jadi, apa-apa kenyataan saya tiada kaitan dengan parti.”

Ahad lalu, Malaysiakini memetik Shahidan sebagai mendakwa wujud usaha untuk memastikan kerajaan pimpinan Anwar tidak bertahan lama serta PN akan kembali memerintah berdasarkan mandat rakyat.

“Kita bersyukur, petanda yang baik sekarang ini ialah sokongan kepada PN luar biasa. Saya ucap tahniah kepada barisan Kabinet Anwar. Kita redalah apa yang berlaku.

“Jadi kami sedang berusaha supaya Kabinet ini tidak tahan lama dan insya Allah kami yang akan kembali memerintah berdasarkan mandat rakyat. Parti yang menang besar ialah anggota daripada PN, iaitu PAS,” katanya.

Semalam, Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin dilaporkan mendakwa tidak tahu mengenai gerakan menukar kerajaan seperti didakwa Shahidan.

Shahidan mempertahankan kerusi Parlimen Arau pada PRU15 atas tiket PN, selepas digugurkan dalam senarai calon Barisan Nasional.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.