Orang Asli maut dipijak gajah

Orang Asli maut dipijak gajah

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian kerana tidak sempat menyelamatkan diri ketika rumahnya dirempuh haiwan berkenaan.

Menurut polis, mangsa meninggal dunia akibat cedera parah dan mayat dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Seorang wanita Orang Asli maut dipijak gajah dalam kejadian di Kampung Simoi Baru, Pos Betau, Lipis, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 4.45 pagi itu, mangsa Wak Angkat Yong Tong, 39, meninggal dunia di tempat kejadian selepas dikatakan tidak sempat menyelamatkan diri ketika rumahnya dirempuh haiwan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Lipis, Azli Mohd Noor, berkata kejadian berlaku ketika mangsa dan lapan lagi ahli keluarga sedang tidur di rumah yang terletak berhampiran sebuah kebun getah.

“Mangsa tinggal bersama keluarganya di rumah kayu berdinding buluh terletak di kampung itu di sekitarnya terdapat pokok pisang dan berhampiran kebun getah.

“Ketika kejadian, mereka yang sedang tidur terus tersedar kerana rumah bergoyang akibat dirempuh sekumpulan gajah,” katanya menurut Sinar Harian.

Azli berkata, keluarga terbabit terus melarikan diri dalam keadaan gelap dan selepas keadaan reda, mereka mendapati mangsa hilang.

“Mereka mencari dan menjumpai mayat mangsa berada di dalam kawasan pokok pisang berhampiran rumah mereka.

“Siasatan kita mendapati kematian mangsa berpunca akibat cedera parah selepas dipijak gajah.

Katanya, mayat mangsa dibawa oleh anggota polis ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.