Hukuman belum tentu kurangkan kehamilan tidak dirancang, kata MMA

Hukuman belum tentu kurangkan kehamilan tidak dirancang, kata MMA

Ia susulan langkah Terengganu meminda undang-undang untuk menghukum wanita hamil dan bersalin tanpa pernikahan.

Wanita yang hamil tidak dirancang di Terengganu kini berdepan hukuman denda atau penjara atau kedua-duanya sekali. (Gambar Rawpixel)
PETALING JAYA:
Persatuan profesional perubatan terbesar negara menentang tindakan Terengganu untuk menghukum wanita yang hamil tidak dirancang.

Persatuan Perubatan Malaysia berkata, data dan penyelidikan global menunjukkan bahawa langkah yang diambil tidak berkesan dalam mengurangkan kehamilan sedemikian.

Presiden MMA Dr Muruga Raj Rajathurai berkata, tindakan menghukum hanya akan membawa kepada akibat negatif, termasuk kehamilan tidak selamat dan melahirkan anak yang boleh mengakibatkan “kemudaratan kekal” kepada kesihatan seseorang.

Beliau berkata, inilah sebabnya MMA bimbang dengan pindaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu yang memasukkan kehamilan luar nikah dan bersalin bagi wanita Islam diwartakan sebagai jenayah syariah.

Wanita Islam di negeri ini yang didapati bersalah di bawah undang-undang boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara sehingga tahun atau kedua-duanya sekali.

Muruga berkata, Malaysia mencatatkan satu daripada kadar kematian ibu bersalin tertinggi dalam sejarahnya pada 2021, dengan 68.2 bagi setiap 100,000 kelahiran dan 100 bayi dibuang.

Beliau berkata, negara di seluruh dunia telah menyaksikan pengurangan dalam kehamilan tidak dirancang selepas melaksanakan pendidikan seksual dan menyediakan akses kepada perkhidmatan kesihatan reproduktif.

“Kami menggesa dan merayu kepada semua pihak berkuasa dan penggubal undang-undang untuk melaksanakan apa yang telah terbukti secara saintifik dan mendekati isu yang mengubah hidup ini untuk wanita, gadis, keluarga, masyarakat dan negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.