Bicara 1MDB: Irwan dijangka beri keterangan lagi

Bicara 1MDB: Irwan dijangka beri keterangan lagi

Pendakwaan hanya boleh meminta Irwan hadir semula memberi keterangan tambahan, selepas mahkamah membuat keputusan berhubung permohonan untuk memasukkan rakaman audio sebagai bahan bukti.

Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Irwan Serigar Abdullah sebelum ini memberi keterangan dalam perbicaraan kes 1MDB terhadap Najib antara 14 hingga 24 November lalu. (Bernama pic)
KUALA LUMPUR:
Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Irwan Serigar Abdullah dijangka dipanggil semula untuk memberi keterangan sebagai saksi dalam perbicaraan 1MDB terhadap Najib Razak.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memberitahu mahkamah, pendakwaan hanya boleh meminta Irwan hadir semula memberi keterangan tambahan, selepas Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan berhubung permohonan pendakwaan untuk memasukkan rakaman audio sebagai bahan bukti.

“Kami boleh (memanggil semula Irwan) selepas pembelaan selesai soal balas (bekas pegawai bank AmBank) Joanna Yu,” katanya.

Peguam Najib, Shafee Abdullah memberitahu mahkamah beliau menjangka soal balas terhadap Yu akan mengambil masa seminggu.

Irwan sebelum ini memberi keterangan di mahkamah antara 14 hingga 24 November lalu.

Rakaman audio itu dikatakan perbualan antara bekas perdana menteri berkenaan dengan seorang pemimpin Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pendakwaan sebelum ini cuba memainkan rakaman itu untuk membolehkan Irwan mengenal pasti suara di sebalik perbualan berkenaan.

Bagaimanapun, Shafee membantah rakaman itu dimasukkan sebagai bahan bukti kerana didakwa diperoleh secara tidak sah.

Mahkamah seterusnya telah mendengar hujahan pendakwaan dan pembelaan selama empat hari bagi menentukan sama ada ia boleh diterima pakai.

Pada Januari 2020 bekas ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya mendedahkan sembilan rakaman audio di satu sidang media yang didakwa berkait dengan SRC International dan 1MDB. Rakaman berkenaan didakwa melibatkan beberapa individu antaranya Najib, isterinya Rosmah Mansor, bekas Timbalan Pendakwa Raya Dzulkifli Ahmad.

Najib sedang dibicarakan atas 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa berkaitan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan ke akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 hingga Disember 2014.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.