
Dalam temu bual dengan FMT, Sofee menegaskan bahawa PH tidak menumpukan pada kaum dalam pemilihan calon kerana gabungan itu turut meletakkan calon bukan Melayu di kerusi majoriti Melayu.
“Bagaimanapun, dengan pertambahan pengundi Melayu kepada lebih 60%, berbanding bukan Melayu sebanyak 37%, parti membuat keputusan strategik untuk meletakkan calon Melayu memandangkan Perikatan Nasional (PN) turut meletakkan calon Melayu,” kata Sofee.
Sofee ialah calon Ahli Parlimen Melayu pertama bagi kerusi Padang Serai selepas 14 tahun diwakili oleh tiga Ahli Parlimen berbangsa India sejak 2008, iaitu N Gobalakrishnan (2008-2013), N Surendran (2013-2018) dan mendiang M Karupaiya (2018-2022).
Peguam itu dipilih untuk menggantikan Karupaiya, yang meninggal dunia tiga hari sebelum hari pengundian PRU15.
Sofee berkata, sambutan daripada pengundi pelbagai kaum di Padang Serai adalah positif.
“Saya bertanya kepada pengundi India sama ada mereka boleh terima saya dicalonkan dan mereka berkata ‘kami tidak kisah tentang kaum’,” katanya.
Beliau memberi tumpuan untuk menangani masalah kawasan itu yang kerap banjir, kekurangan peluang pekerjaan untuk belia, ketiadaan kemudahan rekreasi, dan kekurangan tapak bertutup untuk penjaja.
Meraih undi Melayu
Sofee mengakui bahawa PH sedang berjuang untuk memenangi sokongan Melayu di Padang Serai selepas hanya mampu meraih 10% undi Melayu pada PRU15.
Beliau sedang menggiatkan kempennya di kawasan majoriti Melayu dan kampung-kampung seperti Merbau Pulas, yang mana 80% pengundinya Melayu, dan di Lunas, yang terdiri daripada pelbagai kaum.
Kempennya termasuk menganjurkan program keagamaan di kampung-kampung, menampilkan tokoh agama daripada Amanah dan PKR. Tokoh agama ini akan mendekati penyokong PAS luar bandar yang menurutnya, terpengaruh dengan retorik PAS dan PN.
“Kita bawa tokoh-tokoh agama untuk perbetul naratif perkauman dan agama yang dibawa oleh PN. Saya difahamkan Amanah dah berkampung di DUN Merbau Pulas sebab boleh kata kawasan majoriti Melayu Islam,” katanya.
“Jadi, kita minta Amanah untuk tumpu sepenuhnya (pada Merbau Pulas), sebab itu kerusi yang Amanah pernah tandingi dulu dan kalah sedikit sahaja, 400 lebih undi. Maknanya, sekarang ini (jika) kita boleh tingkatkan undi di Merbau Pulas, kita boleh tingkatkan majoriti kalau menang.”
Pada pilihan raya Parlimen Padang Serai 7 Dis ini, Sofee akan menentang calon PN Azman Nasruddin dan calon bebas Ananda AK. Calon Barisan Nasional dan Warisan menarik diri daripada bertanding dan menyokong Sofee.