
Katanya, walaupun mengakui terkejut dengan pengumuman senarai penuh Jemaah Menteri oleh perdana menteri Jumaat lalu, beliau sebaliknya mengambil sikap positif kerana menyedari cabaran besar serta kekangan dihadapi Anwar Ibrahim.
“Untuk kebaikan kerajaan ini, kita semua kena positif…saya kalau hendak negatif daripada awal lagi saya boleh negatif tetapi saya tidak mahu ambil hati sebab saya percaya beratnya peranan dan cabaran PM10 (Anwar) yang bukan senang.
“Ini bukan kerajaan PH tetapi kerajaan perpaduan, keputusan ini terbaik untuk semua,” katanya kepada FMT.
Sebaik sahaja Anwar mengumumkan senarai anggota Jemaah Menteri kerajaan perpaduan pimpinannya, ramai terkejut dengan ketiadaan nama Dzulkefly yang disebut-sebut kembali memegang jawatan menteri kesihatan. Sebaliknya, Anwar melantik Ahli Parlimen Sekijang Dr Zaliha Mustafa.
Warganet turut mempertikaikan bagaimana Tengku Zafrul Aziz yang tewas di tangan Dzulkefly di kerusi Parlimen Kuala Selangor pada PRU15 dilantik sebagai menteri perdagangan antarabangsa dan industri.
Dzulkefly yang mempertahankan kerusi itu buat penggal ketiga menewaskan Tengku Zafrul daripada Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 1,002 undi.
Mengulas lanjut, Dzulkefly yakin boleh berkhidmat di platform lain dan percaya perdana menteri mempunyai percaturan baginya dalam menyumbang kepada pembangunan negara khususnya dalam aspek kesihatan.
“Walaupun beliau ‘drop’ (gugurkan) saya, mungkin dia ada fikirkan peranan saya berdasarkan pengalaman dan keupayaan saya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap Zaliha yang diberi tanggungjawab mengepalai Kementerian Kesihatan mampu mengemudinya dengan kepimpinan tegas dan komitmen tinggi dalam meneruskan agenda reformasi sektor itu.
“Beliau sebagai menteri mesti menunjukkan kepimpinan tegas dan pemikiran strategik dalam memacu sektor kesihatan menerusi perkhidmatan dan penyampaian,” katanya.
Zaliha ketika mengucapkan terima kasih di atas pelantikan itu semalam berkata portfolio berkenaan sangat dekat di hatinya.
“PM10 telah mendengar luahan akar umbi dan rakyat agar portfolio ini disandang oleh seorang pengamal perubatan, dan perkara ini telah ditunaikan,” katanya.