Cabutan khas 4D hanya 8 kali setahun mulai 2023

Cabutan khas 4D hanya 8 kali setahun mulai 2023

Cabutan sebanyak lapan kali sebelum ini dinaikkan kepada 22 kali ketika pentadbiran Perikatan Nasional, kata perdana menteri.

Kerajaan PH mengurangkan cabutan khas kepada lapan kali pada 2018, selain tiga ‘cabutan biasa’ yang diadakan setiap minggu.
PETALING JAYA:
Bermula 1 Jan depan, cabutan khas nombor ramalan 4D dikurangkan kepada lapan kali setahun berbanding 22 kali, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri pertamanya, beliau berkata, keputusan drastik itu diambil walaupun baru sehari beliau menerajui Kementerian Kewangan.

“Satu hari saya jadi menteri kewangan, saya boleh mengambil keputusan untuk membatalkan keputusan awal tahun ini mengenai cabutan khas perjudian yang dilakukan ketika Jemaah Menteri yang disertai PAS dan Bersatu untuk meningkatkan cabutan daripada lapan ke 22 kali.

“Pada hari ini, saya arahkan ia dikekalkan pada tahap lama, iaitu lapan kali,” katanya.

Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin pada 2021 meluluskan semua permohonan agensi nombor ramalan untuk cabutan khas sebanyak 22 kali setahun.

Keputusan itu mendapat kritikan hebat, termasuk sebahagian besar pemimpin PAS yang mendesak ia dikurangkan ke jumlah asal lapan kali ketika pentadbiran Pakatan Harapan pada 2018.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi akan mempengerusikan Jawatankuasa Pengurusan Bencana bagi membentangkan langkah segera menghadapi sebarang kemungkinan ketika musim tengkujuh.

Katanya, seorang lagi timbalannya, Fadillah Yusof akan memastikan semua perkara berbangkit dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diselesaikan segera.

Beliau turut memaklumkan kerajaan pimpinannya akan meneruskan dasar baik kerajaan terdahulu, termasuk rang undang-undang memberi kebaikan kepada negara yang sedang dibahaskan di Parlimen.

“Dasar-dasar yang baik, kontrak (telus) kita tiada masalah, ini kerajaan yang teruskan sistem, tetapi kita tegas dalam membuat perubahan, tender tidak ikut perolehan, projek tak ikut prosedur harus kita teliti semula.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.