
Peguam kepada bekas Sarjan Wan Ramli Wan Seman hari ini berhujah di Mahkamah Tinggi bahawa pemecatan itu tidak munasabah kerana beliau telah dinafikan hak untuk dibicarakan.
Yasmeen Soh Sha-Nisse berkata, permintaan anak guamnya untuk dibicarakan di mahkamah tentera telah ditolak oleh pegawai atasannya, Lt Kol Sharull Hesham Yasin.
Wan Ramli yang bertugas di Batalion ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) berpangkalan di Kem Rasah, Negeri Sembilan, memohon semakan kehakiman terhadap pemecatannya pada Ogos tahun lalu. Beliau sepatutnya tamat perkhidmatan pada 20 Januari depan, namun disebabkan pemecatan itu telah turut hilang hak perlembagaannya untuk mendapat pencen.
Beliau menamakan pegawai memerintah, dua pegawai lain, Angkatan Tentera Malaysia dan kerajaan sebagai responden.
Soh berkata, di bawah peraturan angkatan tentera, seorang pegawai memerintah dibenarkan menyelesaikan sesuatu tuduhan hanya jika tiada permintaan dibuat untuk menjalani prosiding mahkamah tentera.
“Memandangkan tiada peluang seumpama itu diberikan kepada pemohon, keputusan memecatnya adalah terbatal,” katanya.
Dalam hujah balasnya Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly berkata, Wan Ramli didakwa atas empat kesalahan ketenteraan, iaitu ingkar arahan untuk divaksin; menggunakan bahasa bersifat mengancam atau ingkar terhadap pegawai atasan; ingkar perintah tetap; dan berkelakuan dengan cara yang melanggar ketenteraman dan disiplin perkhidmatan.
Hanir berhujah, Lt Kol Sharull berhak untuk terus menyelesaikan perkara berkenaan, manakala Wan Ramli tidak dinafikan hak untuk didengar kerana prosiding berkenaan turut mendengar keterangan saksi. Katanya, enam saksi pendakwaan telah dipanggil, dan Wan Ramli turut diberi peluang membela diri.
“Beliau memilih berdiam diri. Beliau tidak memberi keterangan bersumpah, atau membuat keterangan dan tidak memanggil saksi pembelaan,” katanya.
Beliau meminta mahkamah menolak permohonan Wan Ramli untuk semakan kehakiman itu dengan menegaskan keputusan pihak tentera tidak tercemar.
Hakim Ahmad Kamal Shahid menetapkan 12 Januari untuk keputusannya.